Jumaat, 13 September 2019 | 5:51pm
Daim (tengah) menyampaikan syarahan pada program Syarahan Presiden Iktisas Kelautan Malaysia (IKMAL) sempena Minggu Maritim Dunia 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Industri, universiti perlu bincang selesai isu siswazah menganggur

KUALA LUMPUR: Industri dan universiti perlu berbincang bagi menyelesaikan segera isu pengangguran siswazah yang berlarutan sejak sekian lama, selain ketidaksepadanan pekerjaan dengan kelulusan.

Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin, berkata disebabkan masalah itu, siswazah marah kepada kerajaan dan ada segelintir daripada mereka pula terbabit dalam gejala sosial.

“Sepatutnya, universiti perlu bertanya kepada industri, graduan bagaimana yang mereka mahukan. Justeru, universiti dapat melahirkan graduan yang diingini pasaran pekerjaan.

“Disebabkan masalah pengangguran dan pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelulusan, mereka tidak puas hati dengan kerajaan walaupun kerajaan ini baru berusia setahun, sedangkan ini adalah kisah lama.

“Golongan ini berasa tidak selamat kerana walaupun ada pendidikan tetapi kerja tidak ada,” katanya pada sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan pada program Syarahan Presiden Iktisas Kelautan Malaysia (IKMAL) sempena Minggu Maritim Dunia 2019 di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan mengenai siswazah maritim yang ramai di Malaysia tetapi sukar mendapat pekerjaan.

Syarahan itu yang dikendalikan Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Bhd, Datuk Seri Che Khalib Mohd Noh, turut dihadiri Presiden IKMAL, Kapten Zuradi Zainol Abidin.

BH pernah melaporkan mengenai peningkatan jumlah siswazah menganggur terutama daripada golongan B40, selain ramai terpaksa menceburi pekerjaan bukan bidang pengajian masing-masing serta dibayar gaji atau imbuhan tidak setimpal kelulusan.

Daim berkata, disebabkan tiada perancangan yang baik dalam menyelesaikan isu itu, kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi menangani masalah sosial.

“Ini masanya untuk (industri dan universiti) duduk dan merancang, seterusnya dilaksanakan dengan jayanya. Saya berharap isu ini diselesaikan sebab ini negara kita,” katanya.

Sementara itu, Daim berkata, kerajaan perlu menyediakan persekitaran perniagaan yang baik untuk industri maritim negara berkembang, dan tidak dimonopoli syarikat perkapalan dari negara luar.

“Ada syarikat yang mahu terbabit dalam pengangkutan barangan, jadi kerajaan perlu memberi galakan. Kapal tempatan mesti mengambil peluang untuk mengeksport barangan kita dan mengimport,” katanya.

Mengenai cukai korporat tinggi yang dikenakan kerajaan sehingga menyebabkan kapal luar kurang berminat berdaftar di negara ini, Daim berkata, beliau percaya pelaksanaan cukai yang rendah sebenarnya memberi lebih banyak pendapatan kepada negara.

“Falsafah saya bagi perniagaan, cukai dan kadar faedah mesti rendah supaya perniagaan itu boleh berjaya. Lebih banyak peluang dan semakin berjaya perniagaan itu, kita akan memperoleh lebih pendapatan walaupun mengenakan cukai yang rendah.

“Bagaimanapun, ramai yang tidak percaya perkara ini. Jika cukai tidak begitu tinggi, kita akan memperoleh semula pendapatan itu, jadi pemikiran ini perlu ditukar,” katanya.

Berita Harian X