Sabtu, 14 September 2019 | 9:43am
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin kanan UMNO dan PAS hadir pada hari terakhir Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

UMNO-PAS meterai piagam

KUALA LUMPUR: UMNO-PAS akan memeterai perjanjian kerjasama politik dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional, sempena Himpunan Penyatuan Ummah, hari ini.

Majlis menandatangani piagam UMNO PAS akan disempurnakan oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka, PWTC di sini.

Piagam berkenaan adalah satu dokumen terperinci menggariskan prinsip asas kerjasama, rasional, struktur dan modus operandi kerjasama dirangka menerusi Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal, yang masing-masing dianggotai 11 dan lima pemimpin bagi setiap parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kiri) mengangkat tangan bersama pada Perhimpunan Penyatuan Ummah di PWTC, Kuala Lumpur turut bersama Naik Presiden PAS, Idris Ahmad (kiri) dan Naik Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri (dua dari kanan), malam tadi. - Foto Syarafiq Abd Samad

Dokumen itu bakal memperincikan jawatankuasa berkaitan yang akan melaksana dan merealisasikan kerjasama pada peringkat pusat, negeri hingga peringkat akar umbi.

Piagam itu juga adalah satu tata kelola kerja bagaimana kedua-dua parti bergerak daripada sekarang hingga ke pilihan raya umum yang akan datang.

Tiada pengagihan kerusi dinyatakan dalam piagam itu kerana Presiden kedua-dua parti yang akan memutuskan.

Berita Harian X