Isnin, 16 September 2019 | 10:10pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Usaha tangani jerebu rentas sempadan perlu kerjasama negara ASEAN - TPM

KUCHING: Usaha menangani masalah jerebu rentas sempadan memerlukan kerjasama negara anggota ASEAN, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia memerlukan persetujuan kesemua 10 negara blok itu untuk mengeluarkan satu mekanisme menangani isu berkenaan.

“Kalau ‘transboundary haze’ (jerebu rentas sempadan) itu datang, kita hendak semua negara ASEAN setuju dan kita buat cara mana kita nak tangani, tapi ini adalah satu usaha bersama,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Negeri, di sini, hari ini.

Mengenai usaha menangani jerebu dalam negara, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, proses pembenihan awan sudah dilakukan di Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Sarawak pada 19 hari bulan… lihat keadaan kalau ada awan untuk dibenihkan sebab kadangkala apabila tak ada awan, situasi itu tidak membolehkannya hujan walaupun sudah membuat pembenihan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, beliau juga sudah menghubungi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, untuk mendapatkan laporan terkini mengenai kawasan panas dalam negara. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X