Isnin, 16 September 2019 | 10:43pm
Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad (dua dari kanan) bersama Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Tun Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Afdal mengetuk gedang sebagai simbolik perasmian Majlis Sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching. - NSTP/L Manimaran

Sarawak akan tetap dalam Malaysia

PETRA JAYA: Sarawak mengulangi ikrar untuk terus berada dalam Persekutuan Malaysia yang dibentuk sejak 56 tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata beliau percaya jika terdapat masalah dengan pentadbiran Persekutuan, ia dapat diselesaikan dalam semangat kekeluargaan.

"Bak kata pepatah ‘sedangkan lidah lagi tergigit’. Walaupun Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan berada di platform politik yang berbeza, saya yakin dan percaya ini tidak akan menghalang kita untuk terus bekerjasama bagi kepentingan rakyat dan negara," katanya.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan di sini yang dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, malam ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, beliau mengalu-alukan pendekatan berkongsi kemakmuran yang diumumkan Dr Mahathir, kelmarin.

Mengenai usaha untuk menyelesaikan tuntutan beberapa perkara yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Abang Johari berkata beliau menghargai langkah Dr Mahathir menubuhkan jawatankuasa pemandu bagi menangani isu itu.

"Perundingan semasa berhubung pelaksanaan MA63 dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri mengukuhkan lagi keyakinan kita untuk menyelesaikan isu ini.


Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menandatangani buku Hari Malaysia di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching. - NSTP/Hazreen Mohamad

"Kita semua yakin dan menunggu penyelesaian dan yakin tiada siapa yang akan rugi dan lebih penting lagi, tidak ada pengurangan hak perlembagaan, perlindungan khas dan status yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak seperti yang dipersetujui bapa pengasas negara 56 tahun lalu dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Justeru katanya, beliau dan seluruh anggota pentadbiran kerajaan negeri berkeyakinan penuh bahawa perkara yang dibincangkan akan menemui penyelesaian melalui jawatankuasa berkenaan.

"Semoga persefahaman rakyat Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan lebih kukuh selepas ini," katanya.

Berita Harian X