Selasa, 17 September 2019 | 8:36pm
KEADAAN jerebu di Sri Aman. - Foto ihsan Roszilawati Nor Azizi
KEADAAN jerebu di Sri Aman. - Foto ihsan JPBN

Jerebu di Sri Aman makin buruk

KUCHING: Keadaan jerebu di Sri Aman makin buruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sudah melepasi 400.

Cuaca panas dan kering, didorong tiupan angin daripada kawasan Kalimantan Barat, Indonesia, yang merekodkan 452 tompok panas, terus memberi ancaman kepada penduduk di kawasan berkenaan yang kini terpaksa menghidu bau asap yang kuat.

Pada jam 5 petang tadi, bacaan IPU di Sri Aman mencecah 407 selepas meningkat sejak jam 8 pagi tadi. IPU di kawasan Samarahan dan Kuching, masing-masing mencatatkan bacaan sangat tidak sihat, 231 dan 212.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata sebanyak lapan kes kebakaran belukar direkodkan hari ini terutama di Kuching, Sri Aman, Sarikei dan Limbang.

"Secara puratanya, Bomba Sarawak bertindak ke atas 18 kes kebakaran api belukar setiap hari bermula 1 September lalu. Terbaru, kebakaran belukar berlaku di Jalan Tisak, Betong, membabitkan 13.3 hektar.


KEADAAN kebakaran di Taman STC, Sri Aman. - Foto ihsan bomba

"Mengikut sumber Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, jumlah tompok panas di Sarawak membabitkan 17 kawasan dengan Bau, Kapit, Lundu dan Saratok, masing-masing satu tompok panas, Belaga dengan dua tompok, Lubok Antu dengan tiga tompok dan Sri Aman dengan enam tompok panas," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam satu kenyataan, memaklumkan operasi pembenihan awan (OPA) dirancang dilaksana di Sri Aman, pada 20 hingga 22 September ini.

"Kawasan Kuching, Samarahan dan Sri Aman sudah mencatatkan bacaan paras sangat tidak sihat dan berbahaya. Justeru, berdasarkan penganalisaan model cuaca, tempoh bermula 17 September hingga 24 September ini adalah sesuai untuk melaksanakan OPA," menurutnya.

Berita Harian X