Selasa, 17 September 2019 | 9:04pm
TINJAUAN sekitar Sentul yang terjejas akibat jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara ketika tinjauan pada pukul 4 petang ialah 156** pada tahap kurang sihat. NSTP/Zunnur Al Shafiq

Jerebu makin buruk

KUALA LUMPUR: Masalah jerebu rentas sempadan di Malaysia semakin buruk apabila satu kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya, manakala empat lagi lokasi berada pada paras sangat tidak sihat.

Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menyatakan, bacaan IPU jerebu di kawasan Sri Aman di Sarawak kini berada pada tahap berbahaya menghampiri 400 dengan bacaan mencecah 395 setakat jam 8 malam tadi.

Empat kawasan yang mencatat bacaan IPU sangat tidak sihat ialah Kuching (214) di Sarawak; Johan Setia (230) di Selangor; Seri Manjung (227), Perak dan Nilai (206), Negeri Sembilan.


JARAK penglihatan perairan Pelabuhan Klang kurang jelas akibat jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan 188 iaitu kurang sihat ketika gambar ini dirakam pada 6 petang. NSTP/Roslin Mat Tahir


KELIHATAN pengunjung di jeti Marina Islands memakai topeng penutup muka ekoran cuaca jerebu pada tahap sangat tidak sihat yang melanda Seri Manjung hari ini.Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan pada 229 pada jam 5 petang. - Foto BERNAMA


PEMANDANGAN bandaraya Kuching yang berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 212 iaitu 'sangat tidak sihat' pada 6 petang tadi. - Foto BERNAMA


ORANG ramai memakai topeng muka untuk menjaga kesihatan berikutan jerebu yang melanda Kuala Lumpur. Menurut Indeks Pencemaran Udara (IPU) diterbitkan oleh Jabatan Alam Sekitar melalui laman sesawang Air Pollutant Index of Malaysia (APIMS) mencatatkan bacaan 157 IPU iaitu tahap tidak sihat pada jam 6 petang. NSTP/Hafiz Sohaimi

Sementara itu, 31 kawasan lain mencatat bacaan IPU tidak sihat, manakala 29 lokasi lain berada di tahap sederhana dan tiga di paras baik.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke

Dua daerah di Pahang iaitu Rompin (179) dan Temerloh (113) turut mencatat bacaan IPU kurang sihat.

Keadaan itu menyebabkan Kementerian Pendidikan mengarahkan 648 sekolah ditutup hari ini berikutan keadaan jerebu dan bacaan IPU melebihi 200.

Daripada jumlah itu, 636 sekolah adalah sekolah kerajaan di Sarawak (298), Selangor (201), Putrajaya (25) dan Negeri Sembilan (112) yang membabitkan keseluruhan 445,249 pelajar, selain 12 sekolah swasta ditutup membabitkan 7,432 pelajar.

Berita Harian X