Rabu, 18 September 2019 | 12:39am
KEADAAN kebakaran melibatkan keluasan 13 ekar di Taman STC, Sri Aman. - Foto ihsan bomba

Bacaan IPU di Sri Aman masih di paras berbahaya

KUALA LUMPUR: Keadaan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman, Sarawak, kekal berada di paras berbahaya dengan bacaannya mencecah 354 setakat jam 12 tengah malam tadi.

Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), juga melaporkan lima kawasan lain berada pada tahap IPU sangat tidak sihat iaitu Kuching (203), Sarawak; Seri Manjung (215), Perak; Shah Alam (201) dan Johan Setia (234) di Selangor serta Nilai (210), Negeri Sembilan.

Sementara itu, sebanyak 32 kawasan lain kini mencatatkan bacaan IPU kurang sihat, manakala 28 lokasi lain berada pada tahap sederhana dan dua stesen lain dalam keadaan baik.


KEADAAN kebakaran melibatkan keluasan 13 ekar di Taman STC, Sri Aman. - Foto ihsan bomba

Keadaan itu memaksa Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan sebanyak 115 sekolah membabitkan 113,699 pelajar di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sabak Bernam, akan ditutup hari ini kerana keadaan jerebu.

KPM memaklumkan penutupan sekolah berkenaan dibuat berikutan bacaan IPU di Stesen Johan Setia, Nilai dan Seri Manjung merekodkan bacaan melebihi 200.

Bagaimanapun, berikutan bacaan IPU Stesen Putrajaya pada jam 4 petang tadi yang menunjukkan bacaan bawah 200 dengan trend bacaan semakin menurun, semua sekolah di bawah PPD Sepang, Hulu Langat dan Petaling Perdana yang merujuk bacaan IPU Stesen Putrajaya akan kembali beroperasi seperti biasa hari ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).


KEADAAN jerebu di Sri Aman. - Foto ihsan JPBN

Berita Harian X