Rabu, 18 September 2019 | 8:41am
Pemandangan bandaraya Kuching yang berjerebu. - Foto BERNAMA
Pemandangan bandaraya Kuching yang berjerebu. - Foto BERNAMA

Jerebu: 337 sekolah di Sarawak ditutup

KUCHING: Jerebu yang masih menyelubungi negeri ini memaksa 337 buah sekolah di sembilan daerah ditutup untuk hari kedua, hari ini.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam kenyataan, berkata daripada jumlah itu, 281 adalah sekolah rendah manakala 56 lagi sekolah menengah, membabitkan jumlah keseluruhan pelajar seramai 138,384.

Sembilan daerah yang terbabit dalam penutupan sekolah itu ialah Betong, Bau, Kuching, Lubok Antu, Padawan, Samarahan, Sri Aman, Lundu dan Kanowit.

Di Kuching, penutupan membabitkan 85 sekolah, Padawan (85), Betong (55), Bau (44), Sri Aman (41), Lundu (24) manakala Lubok Antu, Samarahan dan Kanowit masing-masing satu sekolah.

“Pihak sekolah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa serta memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan melalui pelbagai pendekatan sepanjang tempoh sekolah ditutup,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman menurun ke tahap sangat tidak sihat selepas mencecah paras berbahaya, semalam.

Sehingga jam 8 pagi ini, kualiti udara di bahagian berkenaan berada pada bacaan 239.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), sembilan Stesen Pengawasan Udara Automatik pula mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat.

Lokasi terbabit ialah Kuching (173), Samarahan (154), Sarikei (157), Sibu (166), Mukah (137), Bintulu (120), Samalaju (102), Miri (125) dan Institut Latihan Perindustrian Miri (120).

Berita Harian X