Rabu, 18 September 2019 | 4:49pm
LHDN menggesa pembayar cukai berada di luar negara​ supaya segera PKPS yang bakal berakhir 30 September ini. - Foto hiasan

LHDN gesa pembayar cukai luar negara segera sertai PKPS

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggesa pembayar cukai berada di luar negara​ supaya segera menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang bakal berakhir 30 September ini, bagi mengelak penalti yang tinggi.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat LHDN, Ranjeet Kaur, berkata pihaknya menerima maklumat kewangan khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara mulai September 2018 dan LHDN akan menghubungi pembayar cukai yang gagal hadir secara sukarela di bawah program itu.

“Saya tegaskan bahawa dengan pelaksanaan inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), LHDN menerima maklumat kewangan khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara mulai September 2018.

“Data ini akan digunakan sebaik saja PKPS berakhir, di mana kami akan menghubungi pembayar cukai yang gagal hadir secara sukarela di bawah program ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

PKPS yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 bertujuan memberi peluang kedua kepada pembayar cukai yang mempunyai masalah pematuhan cukai untuk membuat pembetulan pelaporan cukai mereka dengan menawarkan kadar penalti rendah iaitu hanya 15 peratus bagi fasa kedua program itu.

Dalam pada itu, Ranjeet Kaur berkata individu yang mempunyai akaun bank di luar negara disaran untuk segera hadir ke pejabat LHDN sekiranya terdapat pendapatan yang dijana di Malaysia dan ia masih belum dilaporkan.

Beliau berkata secara keseluruhan LHDN menerima penyertaan menggalakkan daripada pembayar cukai yang mempunyai masalah pematuhan cukai menerusi inisiatif PKPS itu dan ​​​​​​​statistik penyertaan PKPS akan dimaklumkan selepas program itu tamat pada hujung bulan ini.

“PKPS adalah inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat meningkatkan pematuhan cukai dan buat masa ini, ia tidak akan dilaksanakan lagi pada masa hadapan.

“Justeru, pembayar cukai perlu merebut peluang ini segera bagi mengelak mereka dikenakan penalti yang lebih tinggi selepas tempoh PKPS berakhir,” katanya.

Pembayar cukai boleh melayari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my; kunjungi Pejabat LHDNM berhampiran; hubungi Hasil Care Line LHDNM di talian 1-800-88-5436 atau 603-8911 1100 (Luar Negara) dan e-mel pertanyaan kepada: [email protected] bagi mendapat maklumat lanjut mengenai program PKPS. - BERNAMA

Berita Harian X