Rabu, 18 September 2019 | 8:00pm
Sesetengah majikan enggan menyerahkan pasport atau permit kerja kepada pekerja asing.

Dorong pekerja asing larikan diri

KUALA LUMPUR: Pemberhentian pengeluaran dokumen pengenalan diri pekerja asing, i-Kad, oleh Jabatan Imigresen sejak Julai lalu, dikhuatiri meningkatkan kegiatan pemalsuan pasport serta menyebabkan sektor pembinaan negara ini kehilangan ribuan pekerja asing kerana lari menyertai sektor lain serta.

Tujuan utama i-Kad dilaksanakan selama ini sebagai pengenalan rasmi warga asing yang bekerja di negara ini, tanpa menggunakan pasport.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), Tukiman Radion, berkata menerusi penggunaan i-Kad, majikan tidak perlu menyerahkan pasport dan permit kerja kepada pekerja sepanjang kontrak.

Beliau berkata, apabila i-Kad dihentikan, majikan perlu menyerahkan pasport dan permit kerja untuk disimpan pekerja

“Situasi demikian membuka ruang dan peluang pekerja asing itu lari ke sektor lain. Malah ini juga menyebabkan pekerja asing terbabit bekerja dalam sektor lain tanpa permit kerja sah.

“Kegiatan kecurian atau pemalsuan pasport atau permit kerja lebih mudah berlaku jika ia jatuh kepada pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada BH.


Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), Tukiman Radion.

Tujuan kad itu dikeluarkan adalah untuk meningkatkan ciri keselamatan yang menghalang sebarang pemalsuan pasport atau permit kerja, sekadar membawa i-Kad sahaja untuk membuktikan dia memiliki permit bekerja dalam negara ini.

Sebelum ini pekerja asing menggunakan i-Pass, tetapi kerajaan menambah baik sistem berkenaan dengan menukarkannya kepada i-Kad.

Kod bar pada setiap kad berkenaan mengandungi semua butiran yang berkaitan dengan pekerja asing, sehingga mustahil bagi sesiapapun untuk memalsukan atau menirunya.

Tukiman berkata, segelintir majikan enggan menyerahkan pasport dan permit kerja kepada pekerja asing masing-masing tetapi tanpa i-Kad pula membuka ruang dan peluang kepada jenayah rasuah berlaku.

“Banyak aduan diterima apabila pekerja asing berkenaan terserempak anggota penguat kuasa yang korup, tanpa sebarang dokumen, mereka dipaksa membayar sogokan.

“Situasi ini mendorong mereka mencari sindiket pemalsuan dokumen untuk mengeluarkan pasport dan permit kerja palsu,” katanya.

Berita Harian X