Khamis, 19 September 2019 | 12:08pm
Ketua pasukan SMK Kangkar Pulai, Abida Arriesya Abdul (dua dari kiri) bersama ahli kumpulan dan guru menunjukan empat produk yang dihasilkan daripada kulit nanas pada Karnival Inovasi Teknologi Hijau (KITH) peringkat kebangsaan 2019 di Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom (DHU). - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Empat inovasi kulit nanas

PEKAN: Kulit nanas (Ananas comosus) yang sebelum ini dibuang kini berjaya dijadikan kordial minuman berkhasiat termasuk tiga jenis bahan kecantikan hasil inovasi tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kangkar Pulai, Johor.

Hasil penyelidikan selama enam bulan pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan dibantu seorang guru berjaya menghasilkan inovasi berkonsepkan teknologi hijau yang dikitar semula.

Ketua pasukan, Abida Arriesya Abdul, berkata selain kordial, produk lain yang mereka dihasilkan ialah pelembab bibir dan kulit serta penyegar muka.

Katanya, sebelum ini kulit nanas dibuang selain dijadikan makanan haiwan namun dengan inovasi mereka kulit nanas kini mempunyai nilainya yang tersendiri.

Beliau berkata, pada kulit nanas banyak mengandungi vitamin c, bromelin dan fenolik yang penting untuk kesihatan manusia selain menjadi bahan bagi mengekalkan kecantikan pada kulit.

“Kedudukan sekolah yang hampir dengan ladang nanas menjadi pencetus idea menghasilkan inovasi empat produk berkenaan yang diharap dapat dikomersialkan suatu hari nanti dengan sokongan syarikat swasta.

“Banyak kelebihan terdapat pada produk yang dihasilkan antaranya menggunakan buah tempatan yang banyak terdapat di negara ini dan lebih utama mampu dijual pada harga murah,” katanya ditemui pada Karnival Inovasi Teknologi Hijau (KITH) peringkat kebangsaan 2019 di Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom (DHU), di sini, hari ini.

Program tiga hari itu disertai 320 pelajar sekolah menengah yang mewakili 16 pasukan negeri.

Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan seperti reka cipta inovasi teknologi hijau, reka bentuk bandar teknologi hijau, inovasi tenaga biojisim dan kereta solar.

Pertandingan musim keempat itu dianjurkan oleh Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) dan Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) dengan kerjasama Kementerian Tenaga Sains, Teknologi Hijau, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Najmi Ridwan berkata, selepas muncul juara di peringkat negeri sebelum ini harapan lebih tinggi ialah untuk merangkul kemenangan dalam kategori inovasi di pentas kebangsaan kali ini.

“Saya bersama Najmi Ridwan Mohd Roslan dan Lee Sam Wai dibantu guru Siti Asmah Parlan sudah berusaha kini terpulang kepada juri membuat penilaian terhadap empat inovasi yang dihasilkan.

“Harapan saya dan rakan-rakan selepas ini ialah untuk melihat produk yang kami hasilkan berada di pasaran tempatan,” katanya yang kali pertama bertanding di peringkat kebangsaan.

Berita Harian X