Khamis, 19 September 2019 | 4:32pm

Rakyat kurang cakna mengenai pemindahan sel stem

KUALA LUMPUR: Kesedaran masyarakat tempatan berhubung menderma sel stem masih kurang memuaskan khususnya bagi membantu pesakit kanser leukemia dan limfoma.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata masyarakat tidak cakna mengenai isu ini, sedangkan ramai pesakit kanser memerlukan bantuan berkenaan.

Justeru itu, kesedaran perlu ada terhadap diri masyarakat untuk memahami proses dan kepentingannya.

“Jika dulu pesakit kanser terutama kanser darah sering dikaitkan dengan tiada peluang untuk sembuh, namun pelbagai perubatan terkini membolehkan sebilangan pesakit kanser berpotensi untuk sembuh menerusi rawatan pemindahan sel stem.

“Di negara ini, hanya terdapat beberapa hospital saja yang mampu menjalankan rawatan ini. Hospital Ampang adalah pusat yang terbesar pemindahan sel stem dan seluruh negara dijalankan di sini.

“Sehubungan itu, saya menyeru supaya lebih ramai yang akan tampil secara sukarela untuk mendaftar sebagai penderma sel stem,” katanya selepas merasmikan Sambutan 20 Tahun Perkhidmatan Pemindahan Sel Stem Darah di Hospital Ampang, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung peningkatan kes kesihatan yang berpunca daripada cuaca jerebu, beliau berkata, ia meningkat namun kenyataan penuh hanya akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, saja.

Selain itu, sempena sambutan ‘World Marror Donor Day 2019’, Hospital Ampang menyambut kejayaannya menyediakan perkhidmatan pemindahan sel.

Lebih 2,000 kes pemindahan sel stem sudah berjaya dilaksanakan dalam tempoh 20 tahun sejak ia ditubuhkan.

Turut hadir, Pengarah Hospital Ampang, Dr Ghazi Abd Manat, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, Dr Noor Aziah Zainal Abidin dan Ketua Perkhidmatan Hematologi Kebangsaan, Dr Jameela Sathar.

Sementara itu, Dr Jameela, berkata dari sudut perkhidmatan pemindahan sel stem, negara berada pada tahap baik.

“Prosedur ini sememangnya rumit tetapi kita sudah mencapai tahap antarabangsa dengan membuat pemindahan sel stem 200 kes setahun.

“Pemindahan sel stem adalah harapan bagi pesakit kanser yang gagal menjalani kimoterapi.

“Dengan ubat baru dan rawatan ini, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan,” katanya.

Sel stem boleh diperolehi dari salur darah, sum sum tulang atau darah dari tali pusat bayi yang baru dilahirkan.

Ia mampu menghasilkan pelbagai jenis komponen darah yang diperlukan untuk merawat pesakit.

Orang ramai yang berumur 18 tahun hingga 50 tahun dan tidak berpenyakit disarankan untuk mendaftar sebagai penderma sel stem di Daftar Sel Stem Malaysia (MSCR).

Dr Dzulkefly bersama penderma sel stem pada Sambutan 20 Tahun Perkhidmatan Pemindahan Sel Stem Darah di Hospital Ampang, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Dr Dzulkefly bersama penderma sel stem pada Sambutan 20 Tahun Perkhidmatan Pemindahan Sel Stem Darah di Hospital Ampang, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X