Khamis, 19 September 2019 | 5:01pm
Pelancong Jerman, Adalia Alarice Kathe menggunakan penutup muka dan hidung ketika bersiar-siar di kawasan pelancongan di Tebingan Kuching yang masih berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 267 iaitu sangat tidak sihat pada pukul 2.30 petang hari ini. - Foto BERNAMA
Pelancong Jerman, Adalia Alarice Kathe menggunakan penutup muka dan hidung ketika bersiar-siar di kawasan pelancongan di Tebingan Kuching yang masih berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 267 iaitu sangat tidak sihat pada pukul 2.30 petang hari ini. - Foto BERNAMA

Indonesia perlu buktikan syarikat dari Malaysia punca jerebu

PUTRAJAYA: Indonesia perlu membuktikan tuduhan kononnya anak syarikat kelapa sawit dari Malaysia antara penyebab kebakaran hutan di republik itu.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata anak syarikat kelapa sawit milik negara ini amat dikenali dan mereka mengamalkan penanaman lestari yang disahkan melalui Skim Pensijilan Kelestarian & Karbon Antarabangsa (ISCC) atau gabungan sistem pensijilan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, tindakan Indonesia menyalahkan ladang milik syarikat Malaysia berhubung kebakaran hutan di beberapa bahagian negara itu, mengundang kebimbangan dan mereka perlu menyiasat sendiri tanpa menuding jari kepada kerajaan Malaysia.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Katanya, sekiranya syarikat terbabit didapati melakukan kesalahan, Indonesia perlu mengemukakan kertas siasatan dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia untuk diteliti dan tindakan lanjut.

“Tuduhan ke atas syarikat Malaysia yang dinamakan oleh kerajaan Indonesia itu sangat serius dan menyebabkan imej syarikat dan Malaysia sebagai pengeluar sawit turut terjejas di peringkat dunia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Perhimpunan Kementerian Industri Utama,Bil 7/2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Shamsul Mohd Akin.

Baru-baru ini, media melaporkan kerajaan Indonesia menamakan empat syarikat sebagai punca kebakaran hutan negara itu, iaitu IOI Corporation, Sime Darby Bhd, TDM Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd kerana menjadi punca kebakaran hutan di republik berkenaan hingga mengakibatkan jerebu.

Kok berkata, pihaknya sudah menghubungi empat syarikat berkenaan yang memaklumkan mereka bersedia menjawab dakwaan dilontarkan.

Beliau berkata, tindakan sedemikian juga tidak masuk akal dan dibimbangi tuduhan itu akan digunakan aktivis anti kelapa sawit yang boleh menyebabkan status Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit utama terjejas.

“Saya akan berbincang dengan menemui rakan sejawat dari Indonesia dalam masa terdekat dan berharap dapat memperbetulkan dakwaan itu,” katanya.

Terdahulu, Kok membentangkan pencapaian sektor agrokomoditi bagi Januari hingga Julai 2019 yang mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM93.2 juta bilion, manakala imbangan dagangan sebanyak RM49.1 bilion.

Katanya, pendapatan eksport produk komoditi bagi tempoh itu adalah sebanyak RM71.2 bilion atau 12.5 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

“Nilai eksport susut 4.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2018 yang mencatatkan nilai sebanyak RM74.6 bilion.

“Penurunan nilai eksport produk agrikomoditi ini adalah disebabkan faktor kejatuhan eksport produk utama seperti minyak sawit, boleokimia berasaskan sawit dan getah asli,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X