Sabtu, 21 September 2019 | 8:52am
Allahyarham Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai.

Timbalan Menteri JPM meninggal dunia

JOHOR BAHRU: Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai meninggal dunia di Hospital Pontian kira-kira jam 6 pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, ketika dihubungi BH mengesahkan menerima berita kematian Allahyarham.

“Mengenai berita Ahli Parlimen Tanjung Piai, saya sudah dimaklumkan pagi tadi dan akan melawat jenazah dari Muar terus ke Pontian pada jam 9 pagi nanti,” katanya.

Berita mengenai pemergian Allahyarham turut dimuat naik beberapa pemilik akaun di laman Facebook sejak jam 8 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa pulang ke rumah ibunya di Serkat, Pontian untuk dikebumikan.

Md Farid yang juga Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng dengan memperolehi 21,255 undi.

Beliau adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang diamanahkan untuk menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Allahyarham menerima pingat Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) daripada Kerajaan Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira tahun lalu.

Berita Harian X