Sabtu, 21 September 2019 | 8:56am
PEKERJA projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo menaiki kenderaan untuk ke tempat kerja dalam keadaan berjerebu di Balai Ringin, kualiti udara menunjukkan tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada 7 pagi hari ini pada peringkat tidak sihat iaitu 170 ekoran pembakaran hutan masih berlaku di Kalimantan Barat, Indonesia. NSTP/Mohd Roji Kawi

Kualiti udara Sri Aman bertambah baik

SRI AMAN : Hujan lebat selama sejam bermula kira-kira jam 9 malam tadi menyumbang penurunan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman pagi ini.

Berdasarkan maklumat laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) IPU Sri Aman terus menurun sehingga mencapai bacaan 216 pada jam 7 pagi tadi.

Walaupun masih berada pada tahap sangat tidak sihat, sekurang-kurang penurunan itu melegakan penduduk selepas IPU di kawasan berkenaan mencecah paras bahaya apabila merekodkan bacaan melebihi 400 semalam.


KEADAAN jerebu di Bandar Sri Aman berkurangan selepas hujan dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat 125 tahap tidak sihat pada jam 10 pagi. NSTP/Ihsan Jabatan Penerangan Sri Aman.

Kualiti udara di tujuh lagi lokasi di Sarawak turut menunjukkan penurunan iaitu Kuching (183), Samarahan (157), Sarikei (141), Sibu (129), Mukah (111), Bintulu (105) dan Samalaju (103).

Bagaimanapun, hujan lebat malam tadi tidak mampu memadam sepenuhnya kebakaran hutan di Kampung STC dan Jalan Kejatau, di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba san Penyelamat Malaysja (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata hujan itu hanya memadam kebakaran di permukaan.

“Seramai 15 anggota kami terpaksa bertugas semalaman untuk memadam kebakaran di dalam tanah gambut.,

“Bagaimanapun, api dijangka marak semula hari ini dan operasi akan diperhebatkan dengan bantuan pesawat Bombardier Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan helikopter JBPM yang akan melakukan pengeboman air,” katanya.

Katanya, operasi hari ini turut mendapat bantuan enam jengkaut bagi melakukan kawalan kebakaran di lokasi kejadian.

“Kami juga mendapat bantuan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi meningkatkan keupayaan operasi,” katanya.

Berita Harian X