Sabtu, 21 September 2019 | 10:01am

Food Bank Malaysia bantu ringankan beban rakyat

ARAU: Lebih 1,700 tan metrik makanan pelbagai jenis disumbangkan orang ramai kepada Food Bank Malaysia sejak ia mula diperkenalkan pada Ogos tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada lebih 311,189 ahli isi rumah berpendapatan rendah (B40) di seluruh negara.

Katanya, program itu akan terus dilaksanakan bagi meringankan bebanan golongan B40, selain membantu menguruskan lebihan makanan yang berlaku di negara ini dengan matlamat `zero waste’ seperti dilaksanakan di lebih 65 negara, termasuk Jepun, Korea Selatan dan Indonesia.

“Susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 15 Februari 2019, kerajaan memutuskan untuk memperluaskan program itu yang dikendalikan KPDNHEP ke 20 institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai program Food Bank Siswa.

“Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) adalah universiti awam ke-16 menyediakan program itu untuk pelajarnya. Seramai 150 pelajar dikenal pasti pihak universiti untuk memperoleh manfaat daripada program itu,” katanya selepas melancarkan Food Bank Siswa UniMAP, di sini semalam.

Saifuddin berkata, selain universiti awam, Food Bank Siswa akan diperkenalkan ke seluruh politeknik, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mulai tahun hadapan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat melancarkan program berkenaan.

Turut berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Food Bank Siswa diperkenalkan melalui dua kaedah iaitu `Food Pantry’ iaitu penyimpanan barangan kering di bilik khas dan siswa yang layak akan menerima agihan makanan mengikut jadual ditetapkan, selain `Central Kitchen’ yang berbentuk sumbangan makanan boleh dimasak.

Berdasarkan rekod sehingga Julai 2019, seramai 4,820 pelajar miskin di universiti awam di seluruh negara memperoleh manfaat daripada program berkenaan.– BERNAMA

Berita Harian X