Sabtu, 21 September 2019 | 12:13pm
Dr Mahathir menyampaikan ucapan melalui video rakaman pada Sesi Town Hall Bersama Pemilik dan Pewaris Kampung Baru di Dewan Perdana FELDA, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Kepentingan Melayu jadi teras pembangunan Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kepentingan dan kedudukan orang Melayu menjadi teras usaha pembangunan semula Kampung Baru.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dilindungi sepenuhnya mengikut Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang menetapkan bahawa kepentingan orang Melayu.

Ia termasuk kepentingan sosial, ekonomi, warisan, adat, budaya dan nilai sejarah akan diberi keutamaan dalam setiap pembangunan yang akan dilaksanakan.

“Antara sebab cadangan membangunkan Kampung Baru ditentang adalah kerana wujud dakwaan bahawa pembangunan ini akan mengeluarkan orang Melayu dari tengah ibu kota Kuala Lumpur. Ini tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

“Pembangunan Kampung Baru perlu menepati garis panduan senibina Melayu Islam yang disediakan, termasuk mengambil kira setiap aspek warisan dan sejarahnya. Ia akan kekal sebagai simbol kebanggaan orang Melayu di tengah ibu kota,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui rakaman ucapannya sempena Sesi Town Hall Bersama Pemilik dan Pewaris Kampung Baru, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, idea pembangunan Kampung Baru dicadangkan oleh kerajaan sejak awal 1980-an, namun pelbagai andaian dan pendapat diberikan mengenainya.

“Ada yang menyokong dan sebaliknya. Malangnya, selepas berabad berlalu, Kampung Baru masih lagi seperti dahulu.

“Kampung Baru mempamer wajah yang bercanggah. Di satu pihak ia sebagai simbol kebanggaan orang Melayu di tengah ibu kota. manakala di sebelah pihak lagi, masa seolah-olah terhenti di Kampung Baru ketika ibu kota pesat membangun dan menjadi sebuah metropolis,” katanya.

Katanya, keadaan tidak teratur dan kesesakan di Kampung Baru menyebabkan lokasi itu bukan tempat selesa hingga sebahagian besar penduduk asalnya memilik untuk tidak lagi menetap di situ.

Lebih malang lagi, warga asing mengambil kesempatan dan mula mendiami serta menjalankan perniagaan di Kampung Baru.

“Jadi, lebih baik jika kawasan ini dibangunkan dan disusun semula dengan dilengkapi kemudahan awam, termasuk jaringan infrastruktur yang efisyen serta kawasan lapang untuk aktiviti riadah dan kemasyarakatan.

“Sudah tentu akan lebih ramai orang Melayu berminat tinggal di sini kerana Kampung Baru akan menjadi lebih kemas, cantik dan selesai untuk didiami. Ini secara langsung meningkatkan lagi nilai pasaran hartanah,” katanya.

Berita Harian X