Sabtu, 21 September 2019 | 1:04pm

Gerakan koperasi perlu main peranan bantu golongan B40 - PM

CYBERJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu gerakan koperasi memainkan peranan besar dalam membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di bandar dan luar bandar bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri berkata, sumbangan koperasi bukanlah semata-mata mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi perlu juga dilihat daripada aspek peningkatan kuasa beli rakyat yang membawa kepada kemakmuran bersama.

Beliau berkata, koperasi adalah satu model keusahawanan sosial yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama sebaliknya memberi manfaat dan kesejahteraan kepada anggota dan masyarakat.

“Gerakan koperasi sebenarnya boleh memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 di bandar dan juga luar bandar bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

“Bagi tujuan itu, saya mengalu-alukan pelaksanaan program Barang Asas 100 (BA 100), anjuran bersama Kementerian Pembangunan Usahawan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad dalam sektor pemborongan dan peruncitan seperti yang diluluskan Menteri baru-baru ini.

“BA 100 adalah program berteraskan e-dagang, yang akan mengumpulkan belian barang asas secara pukal mengikut permintaan kira-kira 3,000 koperasi runcit di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Amanat Perdana Menteri Bersama Gerakan Koperasi dan Majlis Countdown Halatuju Koperasi Selepas 100 Tahun di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Perdana Menteri berkata, gerakan koperasi di Malaysia membantu kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan dibuat secara telus, adil dan saksama.

“Di peringkat global, pembabitan koperasi mampu menangani kos sara hidup penduduk di mana mereka boleh menyediakan bekalan tenaga elektrik kepada komuniti dengan kadar tarif ditentukan oleh anggota.

“Contohnya, 900 koperasi bergabung mewujudkan Americas’ Electric Cooperative seterusnya menguasai sebanyak 56 peratus pengguna di Amerika Syarikat. Koperasi ini menyumbang sebanyak AS$391 bilion daripada keseluruhan industri elektrik di Amerika Syarikat.

“Dengan kekuatan gerakan koperasi di Malaysia yang mencecah angka 14,237 dengan keanggotaan seramai 6.1 juta orang, koperasi boleh bergabung dan menceburi bidang baharu dan mengembangkan aktiviti sedia ada untuk menguasai pasaran yang lebih luas,” katanya.

Dr Mahathir berkata, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030, koperasi adalah antara platform keusahawanan yang penting bagi pembangunan ekonomi Negara.

“Berdasarkan sumbangan besar koperasi terhadap sosioekonomi negara dan kesejahteraan rakyat, saya berpendapat Kementerian Pembangunan Usahawan dan agensinya termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia, perlu bertindak secara proaktif dalam merancang pembangunan koperasi di negara ini,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan inisiatif baharu Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk menggabungkan koperasi utama dalam Sektor Pemborongan dan Peruncitan dengan menubuhkan koperasi peringkat menengah iaitu Gabungan Angkatan Koperasi Borong dan Runcit (AKRAB).

“AKRAB berperanan sebagai pelengkap yang akan membolehkan koperasi menguasai keseluruhan rantaian pengedaran yang efektif khususnya dalam usaha mengurangkan harga barangan melalui pembelian secara pukal dan kemudahan pengedaran yang cekap.

“Inisiatif ini perlu diperkukuh dan diperluaskan lagi melalui jaringan e-Coop Trade Centre yang dapat mengurangkan peranan dan pembabitan orang tengah, sekaligus berupaya menstabilkan harga barangan keperluan di pasaran,” katanya.

Dr Mahathir merasmikan majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Gerakan Koperasi dan Majlis Countdown Halatuju Koperasi Selepas 100 Tahun di Cyberjaya, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X