Sabtu, 21 September 2019 | 2:05pm
KEADAAN jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 11 pagi mencatatkan bacaan 149 di sekitar kawasan Pusat Bandar, Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Peralihan monsun mampu redakan jerebu

KUALA LUMPUR: Fasa peralihan monsun yang dijangka berlaku pada 24 September hingga awal November ini mampu memulihkan masalah jerebu di seluruh negara.

Jabatan Meteorologi Malaysia satu kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang tempoh berkenaan, kawasan serantau negara akan menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah dan berpotensi untuk pembentukan awan ribut petir.

“Fasa peralihan ini sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang sudah bermula sejak 6 Mei lalu,” katanya.

Meteorologi Malaysia turut memberi amaran bahawa akan berlaku banjir kilat berikutan berlakunya ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang.

“Ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa singkat terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah, kawasan barat dan tengah Sarawak,” katanya.

Berita Harian X