Sabtu, 21 September 2019 | 2:07pm
Latheefa ditemui media selepas Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah Zon Selatan di Dewan Canselor UTeM, Durian Tunggal. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Kamera badan tak langgar prinsip hak asasi

ALOR GAJAH: Pemasangan sistem kamera badan ‘bodycam’ pada anggota pelbagai agensi penguatkuasaan tidak akan melanggar prinsip hak asasi pemakai.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, berkata sebaliknya pelaksanaan itu adalah antara usaha agensi masing-masing memperkasakan penguatkuasaan dengan lebih telus dan berintegriti selain mendapatkan kesaksamaan pelbagai pihak.

Katanya, ia sekali gus boleh mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai versi lisan kerana mempunyai bukti rakaman melalui sistem berkenaan.

“Ini tiada kaitan langsung dengan (perlanggaran) hak asasi. Kita ada prosedur operasi standard (SOP) kerana pelaksanaan ini bukan saja menjadi perlindungan kepada orang ramai tetapi polis.

“Jika berlaku tohmahan atau fitnah, akan ada versi dua pihak. Tanpa kamera, siapa kita akan percaya, jadi sebaiknya, dapatkan siasatan lebih telus melalui versi ini (kamera),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita berhubung kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai pelaksanaan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi menangani kes salah laku pegawai termasuk rasuah.

Syor itu dipersetujui melalui mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) kali ke-10 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, baru-baru ini.

Terdahulu, Latheefa menghadiri Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KoMawAr) zon selatan 2019, yang dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari, di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal di sini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UTeM, Prof Dr Raha Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Latheefa memberi jaminan tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap pemakai kamera badan itu jika berlaku perkara yang boleh menimbulkan syak wasangka dan sangsi ketika bertugas mengikut SOP.

“Jika kamera tidak berfungsi, atau sengaja ditutup (ketika bertugas) dia akan dikenakan tindakan tatatertib. Pelaksanaan ini sudah berlaku di kebanyakan negara dan tiba masanya Malaysia bersama dalam hal ini bagi mengurangkan salah guna kuasa,” katanya.

Katanya, pemakaian kamera di topi, ‘capcam’ atau kamera papan pemuka, ‘dashcam’ juga antara keperluan asas bagi memerangi usaha itu.

Berita Harian X