Sabtu, 21 September 2019 | 2:30pm
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Md Farid

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia pada jam 6 pagi tadi di Hospital Pontian, Johor.

Baginda turut menzahirkan rasa simpati dan sedih terhadap pemergian Allahyarham yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu serta berharap seluruh keluarga tabah menghadapi suasana pilu dan dugaan dari Allah SWT.

“Allahyarham berada di Istana Negara semalam (Jumaat) bagi menunaikan solat Jumaat bersama Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di surau Istana Negara sempena sambutan Hari Pahlawan yang disambut bulan ini.

“Allahyarham juga sembah takzim dan beramah mesra dengan baginda selepas menunaikan solat Istisqa menolak bencana jerebu yang dilaksanakan selepas solat Jumaat,” kata kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Baginda juga mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.

Sementara itu, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mohd Solihan Badri, berkata Md Farid, 42, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai dan Naib Ketua Bahagian BERSATU Tanjung Piai dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

– BERNAMA

Berita Harian X