Sabtu, 21 September 2019 | 2:55pm
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sri Aman turut membantu anggota bomba memadamkan kebakaran belukar di Kampung STS bagi mengurangkan jerebu di Sri Aman. - Ihsan APM
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sri Aman turut membantu anggota bomba memadamkan kebakaran belukar di Kampung STS bagi mengurangkan jerebu di Sri Aman. - Ihsan APM
Sebanyak 60 peratus daripada 81 hektar ladang dan hutan di kawasan Sri Aman, Sarawak yang terbakar berjaya dipadam setakat semalam. - Ihsan APM
Sebanyak 60 peratus daripada 81 hektar ladang dan hutan di kawasan Sri Aman, Sarawak yang terbakar berjaya dipadam setakat semalam. - Ihsan APM

60 peratus kebakaran ladang, hutan di Sri Aman berjaya dipadam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 60 peratus daripada 81 hektar ladang dan hutan di kawasan Sri Aman, Sarawak yang terbakar berjaya dipadam setakat semalam, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi sedang bekerja keras memadamkan baki 32 hektar lagi kawasan yang terbakar.

Operasi pemadaman memasuki hari keenam hari ini, dan sejak 19 September lalu ia dijalankan 24 jam.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan terus menyelaras tindakan menghilangkan jerebu di negeri yang terjejas.

“Operasi pembenihan awan dilaksanakan di barat Sarawak oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia pada 20 September. Operasi ini berjaya menghasilkan hujan di bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Saratok dan Sarikei,” katanya.

Helikopter bomba turut digunakan bagi membantu memadamkan kebakaran belukar di Kampung STC, Sri Aman. - NSTP/Mohd Roji Kawi
Helikopter bomba turut digunakan bagi membantu memadamkan kebakaran belukar di Kampung STC, Sri Aman. - NSTP/Mohd Roji Kawi

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengedarkan 1,200 topeng muka N95 sumbangan Pusat Khidmat Pandan kepada orang ramai di Kompleks Muhibah Taman Nirwana di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata operasi sama dibuat dua kali iaitu pada 12 dan 19 September lalu dan akan dilaksanakan lagi di negeri mengalami jerebu di Semenanjung, bergantung kepada keadaan atmosfera.

DR Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR berucap pada lawatan beliau ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rimba Terjun sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai. - Foto BERNAMA
DR Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR berucap pada lawatan beliau ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rimba Terjun sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai. - Foto BERNAMA

Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan berkata kebakaran itu adalah faktor yang mempengaruhi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman meningkat lebih 300 iaitu dalam kategori berbahaya, selain jerebu merentas sempadan.

Menurut JAS, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat dan selatan Semenanjung, barat Sarawak dan sekitar kawasan Tawau dan Sandakan.

Dr Wan Azizah turut menasihatkan rakyat khususnya di kawasan yang mengalami bacaan IPU di tahap sangat tidak sihat supaya mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah kerana ia boleh menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.

“Banyakkan minum air bagi mengekalkan tahap hidrasi badan, gunakan penutup hidung dan mulut apabila melakukan aktiviti luar rumah serta jangan membuat pembakaran terbuka,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 12 tengah hari ini, bacaan IPU di Sri Aman mencatatkan 117 iaitu kategori kualiti udara tidak sihat serta empat lagi kawasan di Sarawak turut berada dalam kategori sama iaitu di Kuching (166), Samarahan (140), Sarikei (120) dan Sibu (113).

Empat kawasan di Selangor merekodkan bacaan IPU lebih daripada 101 adalah Johan Setia Klang (153), Petaling Jaya (141), Shah Alam (123) dan Banting (119) serta dua kawasan di Negeri Sembilan iaitu di Nilai (142) dan Seremban (124).

Turut mengalami kualiti udara tidak sihat ialah Batu Muda (144) dan Cheras (151) di Kuala Lumpur, manakala Putrajaya dan Segamat, Johor, masing-masing mencatatkan bacaan IPU 146 dan 129.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com. - BERNAMA

Berita Harian X