Sabtu, 21 September 2019 | 6:51pm
Cubaan membunuh diri sebaliknya adalah masalah kesihatan mental yang biasanya didorong oleh tekanan hingga menyebabkan kemurungan. - Foto hiasan
Cubaan membunuh diri sebaliknya adalah masalah kesihatan mental yang biasanya didorong oleh tekanan hingga menyebabkan kemurungan. - Foto hiasan

Cubaan bunuh diri bukan kes jenayah

SEREMBAN: Kerajaan digesa memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman kepada individu cuba membunuh diri kerana perbuatan itu tidak boleh disifatkan sebagai satu kesalahan jenayah.

Timbalan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Prof Madya Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari, berkata cubaan membunuh diri sebaliknya adalah masalah kesihatan mental yang biasanya didorong oleh tekanan hingga menyebabkan kemurungan.

“Mengikut Akta Kanun Keseksaan, individu disabit kesalahan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Hukuman sebegini sebenarnya akan menambahkan lagi tekanan kepada individu yang cuba membunuh diri, justeru ia tidak akan menyelesaikan masalah berkenaan.

“Sebaliknya golongan ini perlu menerima rawatan sewajarnya seperti menjalani proses pemulihan dengan berjumpa pakar psikiatri ,” katanya pada Majlis Penutupan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2019 Peringkat Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang, Mary Josephine Prittam Singh.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datin Dr Harlina Abd Rashid.

Sementara itu, Mary dalam ucapannya, berkata laporan dikeluarkan Persatuan Pencegahan Bunuh Diri Sedunia pada 2019 menunjukkan kematian disebabkan bunuh diri merangkumi 1.4 peratus kematian di seluruh dunia.

Katanya, perbuatan membunuh diri mengorbankan 800,000 nyawa setiap tahun yang bersamaan dengan satu kematian setiap 40 saat.

“Keinginan membunuh diri adalah antara gejala tekanan mental. Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional pada 2015, setiap tiga daripada 10 dewasa di Malaysia berusia 16 tahun ke atas mempunyai masalah kesihatan mental.

“Pada peringkat kerajaan dan pusat kesihatan, strategi pencegahan bunuh diri yang berkesan perlu merangkumi dasar kesihatan awam dan perubatan bersama intervensi awal,” katanya.

Berita Harian X