Sabtu, 21 September 2019 | 8:04pm

Jenazah Dr Md Farid selamat dikebumi

PONTIAN: Jenazah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Haji Ahmad Chokoh di sini, petang tadi.

Upacara pengebumian diakhiri dengan bacaan talkin diketuai Imam Besar Masjid Dato’ Haji Noh Gadut, Sood Ismail, kira-kira jam 5.30 petang.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, Kampung Serkat, dengan turut disertai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Md Farid yang juga Ahli Parlimen Tanjong Piai, meninggal dunia di Hospital Pontian kira-kira jam 6 pagi tadi, akibat komplikasi jantung.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Farah Syazwani Hanis Ismail dan tiga anak perempuan.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Norma Mohamed, 67, berkata anaknya masih komited dan fokus dalam membantu masyarakat setempat meskipun dalam jam terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Dia panggil pegawai dia, bagi tahu ketua kampung macam ini... macam ini. Selesaikan, dia mungkin tidak sempat balik, takut perkara itu tidak selesai.

“Dia juga pesan pada pegawai dia kena selesaikan benda ini (masalah rakyat)... kena habiskan nanti hendak minta peruntukan,” katanya.

Norma yang juga Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Tanjung Piai, reda dengan pemergian Allahyarham dan mengharapkan penduduk mendoakan roh anaknya itu dicucuri rahmat.

Sophie Farissya, 9, menyiram air mawar dan menabur bunga ke pusara ayahnya, Allahyarham Dr Md Farid di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serkat, Pontian. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X