Ahad, 22 September 2019 | 12:13am

Dr Md Farid berkhidmat dengan cemerlang

KUALA LUMPUR: Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik ialah individu yang tidak bukan dari latar belakang politik, tetapi menjalankan peranannya sebagai Ahli Parlimen dan timbalan menteri dengan cemerlang.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata Allahyarham ada menyatakan hasrat yang mahu menjelajah ke semua institusi pengajian tinggi bagi memberi penjelasan mengenai perpaduan kaum di negara ini.

“Namun, tidak kesampaian. Saya sebagai teman rapat amat terasa kehilangan beliau,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14, malam ini.


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Anugerah Sastera Negara ke-14 kepada Prof Dr Siti Zainon Ismail pada Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 malam ini. Turut hadir Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (kanan). - NSTP/Aizuddin Saad

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Md Farid yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai meninggal dunia di Hospital Pontian kira-kira jam 6 pagi tadi akibat komplikasi jantung, pada usia 42 tahun.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Sheikh Haji Ahmad Kampung Chokoh, Serkat, Pontian, pada 5.30 petang tadi.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ziarah serta menunaikan solat jenazah Allahyarham Datuk Dr Md Farid di Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot, Kampung Serkat, Pontian. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Kira-kira 300 orang termasuk masyarakat sekitar Pontian, ahli keluarga dan sanak saudara arwah menghadiri pengebumian itu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Jamek Dato Noh Gadut Serkat, Kampung Serkat untuk disolatkan.

Hadir menziarahi jenazah di masjid itu dan menyertai solat jenazah ialah Perdana Menteri, diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. – BERNAMA

Berita Harian X