Ahad, 22 September 2019 | 7:27am
MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik.

'Allahyarham ingin bincang soal perpaduan mahasiswa'

KUALA LUMPUR: Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, pernah menyuarakan hasrat ingin membincangkan soal perpaduan dalam kalangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu adalah sahabat akrab dan rakan seperjuangan yang mementingkan sikap profesional.

“Kami banyak bekerjasama dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana masing-masing masih baharu dalam arena politik.

“Kali terakhir kami berhubung, Allahyarham ada menyebut ingin berbincang mengenai perpaduan dalam kalangan mahasiswa di IPT,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 di sini, malam tadi.

Dr Md Farid yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai, meninggal dunia di Hospital Pontian kira-kira jam 6 pagi semalam kerana komplikasi jantung.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Haji Ahmad Chokoh, Pontian, Johor, petang semalam.

Dr Md Farid yang juga Naib Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan penyandang, Datuk Seri Wee Jeck Seng, dengan memperoleh 21,255 undi.

Allahyarham adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Berita Harian X