Ahad, 22 September 2019 | 8:00pm
Antara aktiviti dilakukan pelarian etnik Rohingya di Malaysia.
Antara aktiviti dilakukan pelarian etnik Rohingya di Malaysia.

Beri pencari suaka politik, pelarian hak bekerja

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membenarkan pelarian dan pencari suaka yang majoritinya etnik Rohingya, bekerja secara sah.

Penyelidik dari Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Ya Shin, berkata adalah penting untuk kerajaan mengiktiraf hak pekerjaan mereka bagi mengelakkan dieksploitasi majikan kerana bekerja secara haram di negara ini.

Katanya, hak bekerja dengan akses mobiliti pekerjaan penuh harus diberikan supaya mereka boleh menggunakan kemahiran dalam bidang bersesuaian, sekali gus meningkatkan produktiviti mereka.

“Pelarian dan pencari suaka ini tidak diberikan elaun oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja secara tidak sah.

“Malaysia masih tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951. Ini menyebabkan pelarian dan pencari suaka tidak ada hak yang sah di Malaysia.

“Pelarian atau pencari suaka kini dianggap sebagai pendatang tanpa izin dan penjenayah domestik,” katanya kepada BH.

Penyelidik dari Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Ya Shin. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Penyelidik dari Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Ya Shin. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Ya Shin berkata, pelarian dan pencari suaka tidak ada hak bekerja, tidak dilindungi undang-undang dan berisiko ditangkap.

Bagaimanapun, katanya, ramai dalam kalangan mereka bekerja di industri tidak rasmi dengan produktiviti mereka adalah terhad dan mudah diekploitasi.

Sehingga Januari lalu, kira-kira 160,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.

Daripada jumlah itu, 86 peratus adalah dari Myanmar dengan lebih 100,000 orang daripada mereka berada dalam kalangan usia bekerja, iaitu antara 18 hingga 59 tahun.

Ya Shin berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Pakatan Harapan (PH) ketika itu menunjukkan komitmen untuk memberi akses bekerja secara sah kepada semua pelarian berdaftar di negara ini, malah UNHCR juga berusaha membantu kerajaan bagi melaksanakan manifesto itu.

Katanya, jika kerajaan meratifikasi konvensyen itu, pelarian dan pencari suaka juga boleh dibantu dalam perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti, selain hak bekerja.

Beliau berkata, pelarian terbabit jika diberikan hak pekerjaan tidak akan menutup peluang anak tempatan berikutan golongan itu biasanya menceburi sektor pekerjaan skil rendah kerana kebanyakan mereka tidak berpendidikan tinggi.

Selain hak bekerja, katanya, kerajaan perlu meminimumkan kos penjagaan kesihatan bagi pelarian dan diberi akses pendidikan setaraf rakyat tempatan, selain mengecualikan mereka dikenakan levi pekerja asing.

“Ketika ini, pelarian hanya diberikan kelebihan perkhidmatan kesihatan dengan kadar bayaran 50 peratus yang masih tidak mampu ditanggung oleh mereka.

“Jika kerajaan tidak mengenakan levi ke atas pelarian yang ingin bekerja, kos upah oleh majikan kepada mereka boleh dikurangkan.

“Begitu juga dalam pendidikan, pelaburan kerajaan ke atas mereka dalam bidang itu boleh memberi kesan positif dalam jangka panjang.

“Pelarian tidak ada akses terhadap pendidikan secara rasmi, sebaliknya hanya 33 peratus daripada kanak-kanak pelarian di sini mengikuti pengajian di 130 pusat pembelajaran yang dikendalikan badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Ya Shin berkata, Malaysia boleh mencontohi negara luar seperti Turki dan Amerika Syarikat yang mengamalkan dasar yang baik untuk pelarian, khususnya dalam aspek integrasi pendidikan.

Sebelum ini, IDEAS melalui kajian yang dilaksanakan bertajuk The economic impact granting refugees in Malaysia the right to work bersama dua lagi penyelidik iaitu Laurence Todd dan Adli Amirullah turut menjangkakan kesan positif kehadiran pelarian dan pencari suaka kepada ekonomi sama ada dalam jangka pendek dan panjang sekiranya mereka diberikan hak bekerja.

Menerusi kajian itu, pelarian dan pencari suaka mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara RM3 hingga RM6.5 bilion setahun dalam tempoh lima hingga 20 tahun jika mereka diberikan hak bekerja dan akses kepada pendidikan setaraf penduduk tempatan.

Golongan itu dan pencari suaka di negara ini juga diunjurkan boleh menyumbang kepada kutipan cukai pendapatan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak RM50 juta hingga RM250 juta dalam tempoh sama jika diberikan hak berkenaan.

Mereka dijangka boleh menyumbang sebanyak RM3 bilion setahun kepada KDNK pada 2024.

“Jika pelarian diberi hak untuk bekerja di Malaysia, kutipan cukai termasuk cukai pendapatan dan SST daripada pelarian akan meningkat RM50 juta setahun dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Kajian itu dilaksanakan melalui model berdasarkan tahap pendidikan pelarian merujuk data daripada Nungsari & Flanders 2018 bagi pelarian dari Myanmar.

Ia juga membabitkan data daripada Institut Der Deutschen dari Jerman bagi pelarian dari negara lain manakala bagi kutipan cukai pula, ia berdasarkan data perbelanjaan golongan B40 di negara ini.

Jangan biar mereka ‘terkapai-kapai’ selagi berlindung di Malaysia

Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) mendedahkan ada ahlinya menggaji pelarian dari Myanmar untuk bekerja di kilang pemprosesan beras hanya berdasarkan perjanjian mulut.

Ahli Jawatankuasanya, Musonnef Md Radzi, berkata meskipun bersandarkan perjanjian mulut, pelarian itu mampu berkhidmat dalam tempoh panjang di kilang atas kepercayaan antara satu sama lain.

Ahli Jawatankuasa PPBMM, Musonnef Md Radzi. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Ahli Jawatankuasa PPBMM, Musonnef Md Radzi. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Katanya, ada ahli persatuan yang sudah tujuh tahun menggunakan khidmat pelarian berikutan selesa dengan sikap mereka yang bertanggungjawab dan rajin selain sanggup berdepan situasi kerja yang kurang selesa akibat habuk dan debu.

Beliau berkata, ada seorang ahli persatuan mempunyai empat pekerja asing dengan dua daripada mereka adalah golongan pelarian Rohingya berusia 23 dan 35 tahun dan memiliki kad Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNHCR).

“Cabaran bekerja di kilang pemprosesan beras ini adalah ketika menuai apabila banyak habuk dan debu ketika proses mengeringkan padi.

“Mereka pernah mengambil buruh tempatan tetapi tidak ramai yang sanggup berhadapan situasi itu kerana mereka berasa tidak selesa dan miang.

“Berbeza dengan pekerja asing, mereka sanggup melakukan kerja itu dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab tanpa banyak alasan,” katanya kepada BH, di sini.

Musonnef berkata, dua pekerja Rohingya itu dibayar RM70 sehari dengan tempoh kerja semalam 10 jam dan gaji mereka diberikan seminggu sekali dalam bentuk tunai.

Katanya, pekerja Rohingya itu juga diberikan peluang bayaran tambahan bagi kerja lebih masa atas permintaan pekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga mereka di Myanmar.

Berhubung cadangan supaya hak bekerja diberikan kepada pelarian dan pencari suaka di negara ini, Musonnef berkata, ia adalah langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan dalam memastikan golongan itu tidak terkapai-kapai selama ‘berlindung’ di Malaysia.

“Sehingga kini, pelarian tidak diberikan hak bekerja tetapi mereka harus fikir secara logiknya, golongan ini nak makan apa sepanjang berada di sini jika tidak diberikan hak bekerja?

“Jika mereka diberikan hak bekerja, ia boleh memenuhi sektor pekerjaan seperti di kilang beras ini, selain di sawah padi yang kita tahu memang sukar orang tempatan nak kerja,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga boleh mewujudkan peraturan pelarian yang bekerja dijamin oleh majikan bagi memastikan mereka sentiasa berkelakuan baik.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Dobi Melayu, Abdul Jalil Ibrahim, turut menyambut baik cadangan supaya kerajaan memberikan hak pekerjaan kepada golongan pelarian.

Katanya, apa yang menjadi kepentingan majikan ialah jumlah tenaga kerja mencukupi tidak kira mereka pekerja asing ataupun pelarian, asalkan mempunyai sikap yang baik untuk bekerja.

“Jika pelarian ini adalah kategori pekerja yang berkualiti seperti kita mahu, kami sebagai majikan menyokong jika kerajaan memberikan mereka hak bekerja.

“Dalam bidang kami ini, memang 60 peratus pekerja terdiri daripada tenaga kerja asing yang melakukan kerja seperti menggosok baju, membungkus, mengangkat dan membasuh baju,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang menggunakan khidmat pekerja asing, mereka memang mempunyai semangat gigih bekerja untuk memperoleh wang bagi memperbaiki taraf hidup.

Zafar Ahmad (dua dari kanan) bersama pelarian Rohingya di Malaysia pada program dijalankan MERHROM.
Zafar Ahmad (dua dari kanan) bersama pelarian Rohingya di Malaysia pada program dijalankan MERHROM.

Banyak aduan etnik Rohingya dianiaya majikan

Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) menerima sekurang-kurangnya 30 kes eksploitasi dan aniaya pekerja terdiri daripada etnik itu sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.

Presidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani, berkata terdapat segelintir majikan yang mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menganiaya pelarian ini berikutan mereka itu tidak mempunyai dokumen sah untuk bekerja yang membolehkan hak mereka sebagai pekerja dipertahankan.

Katanya, kebanyakan kes yang diterima membabitkan isu tidak dibayar gaji, dipukul ataupun dianiaya majikan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa sebagai taktik mengelak untuk membayar gaji.

“Meskipun banyak menerima laporan berhubung kes eksploitasi dan penganiayaan itu, tiada tindakan susulan boleh diambil untuk membela mereka kerana pelarian tidak mempunyai hak untuk bekerja.

“Pelarian kebiasaannya bekerja dalam sektor pembinaan dan buruh kasar yang memerlukan tenaga namun sebaik mereka selesaikan melaksanakan tanggungjawab itu, majikan tidak membayar kepada mereka.

“Justeru, sudah tiba masa pelarian Rohingya ini diberi kebenaran bekerja secara sah bagi mengeluarkan mereka daripada kemiskinan sebab siapa nak bagi makan anak atau membayar kos rawatan jika mereka tidak bekerja?” katanya kepada BH, di sini.

Zafar Ahmad berkata, pelarian Rohingya yang tidak mempunyai dokumen sah untuk bekerja berisiko ditahan pihak berkuasa sehingga menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan ketika tempoh penahanan.

Katanya, mereka akan ditahan di kem bagi tempoh sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dibebaskan dengan pengesahan oleh Pesuruhjaya Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Walaupun kerajaan membenarkan pelarian untuk mendapatkan perlindungan di sini, tiada kebenaran untuk mereka bekerja. Oleh itu, golongan ini akan ditahan sekiranya didapati bekerja.

“Kita ada menerima aduan ada pelarian yang ditahan dalam tempoh lama, sekali gus berdepan penyalahgunaan hak asasi manusia sepanjang berada di kem tahanan seperti kekurangan makanan, rawatan, ditahan dalam keadaan tidak bersih dan sesak.

“Dasar kerajaan menahan pelarian Rohingya di kem tahanan hanya menambah trauma golongan itu yang menjadi mangsa pembunuhan di negara mereka, sekali gus meningkatkan perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pelarian Rohingya sudah berlindung di Malaysia sejak 30 tahun lalu dan pihaknya menghargai usaha kerajaan memberi ruang buat golongan itu berlindung di negara ini, namun langkah seterusnya harus diambil dari aspek kemanusiaan termasuk memberikan mereka hak bekerja dan pendidikan.

Selain tidak diberikan hak untuk bekerja, Zafar Ahmad, berkata pelarian Rohingya juga berdepan masalah lain iaitu terpaksa menunggu lama sehingga ada yang hampir 20 tahun untuk mendapat kad UNHCR.

“Kita menganggarkan hampir 100,000 pelarian Rohingya adalah pencari suaka yang tidak mempunyai dokumen langsung termasuk dari UNHCR menyebabkan mereka berisiko ditahan pada bila-bila masa.

“Kita juga berdepan masalah ada kanak-kanak Rohingya di negara ini yang dieksploitasi oleh sindiket untuk menjadi peminta sedekah sedangkan sepatutnya mereka diberikan hak untuk mendapat pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, MERHROM yang mempunyai kira-kira 50,000 ahli di seluruh negara banyak melaksanakan program bantuan buat pelarian Rohingya khususnya mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X