Isnin, 23 September 2019 | 12:53pm

Berterusan salahkan industri sawit punca jerebu tidak adil

PUTRAJAYA: Tindakan berterusan menyalahkan sektor perladangan sawit sebagai punca jerebu yang melanda Asia Tenggara ketika ini adalah tidak adil kerana kebakaran hutan bukan hanya berkaitan industri itu semata-mata.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata tindakan menyalahkan peladang sawit adalah tidak tepat dan bukan teguran yang membina.

“Adalah tidak adil untuk berterusan menuding jari kepada industri sawit kerana ia adalah kebakaran hutan.

“Dalam fenomena El Nino ini, kebanyakan tempat di Borneo, terutama Indonesia dan sebilangan kecil kawasan di Malaysia terkesan kerana kebanyakan tanaman serta pokok ditanam di tanah gambut yang mudah terbakar.

“Jadi, jika berlaku kebakaran hutan, tidak semestinya ia berpunca daripada ladang sawit. Ia mungkin dari kawasan perladangan kejiranan (tanaman lain) yang menjadi lokasi bermulanya kebakaran dan merebak ke ladang sawit.

“Bila berlaku jerebu, industri sawit disalahkan. Ingin saya tekankan di sini, industri ini terutama perladangan skala besar (milik Malaysia), mempraktikkan prinsip pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO).

“Jadi, mereka mengamalkan amalan pertanian yang baik dan tidak akan melakukan pembakaran terbuka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Suai Kenal Minyak Sawit ke-39 yang disertai 34 peserta dari 19 negara di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kok berkata pihaknya masih menunggu hasil siasatan Indonesia berhubung laporan kerajaan republik itu menamakan empat syarikat Malaysia sebagai punca kebakaran hutan di situ.

Baru-baru ini, media melaporkan kerajaan Indonesia menamakan empat syarikat iaitu IOI Corporation, Sime Darby Bhd, TDM Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd sebagai punca kebakaran hutan di republik berkenaan hingga mengakibatkan jerebu.

Selain itu, Kok meminta semua pihak berlaku adil kepada usaha Indonesia untuk memadam kebakaran di negara terbabit, malah Presiden Indonesia, Joko Widodo, sendiri turun padang dan memantau kebakaran hutan itu.

Katanya, beliau akan ke Jakarta, Indonesia bulan depan bagi menghadiri mesyuarat bersama rakan sejawatnya di sana dan mengadakan pertemuan dengan pemilik ladang Malaysia di negara itu untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan industri sawit.

Berhubung jangkaan pendapatan daripada eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia bagi tahun ini, Kok berkata perkara itu belum dapat dipastikan kerana bergantung kepada pasaran.

MENTERI Industri Utama, Teresa Kok ketika sidang media selepas merasmikan Program Suai Kenal Minyak Sawit ke-39 (POFP 2019) di Hotel Le Meridien, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X