Selasa, 24 September 2019 | 10:43am

Lindungi pencari kerja daripada diskriminasi - SUHAKAM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa agar elemen perlindungan untuk pencari kerja daripada diskriminasi dimasukkan dalam pindaan Akta Kerja 1955.

SUHAKAM memaklumkan cadangan itu sudah dikemukakan kepada kepada Kementerian Sumber Manusia bagi melindungi pencari kerja dan pekerja daripada sebarang bentuk diskriminasi jantina, agama, bangsa, ketidakupayaan, status perkahwinan, kehamilan dan bahasa.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu dimaklumkan terdapat frasa ‘pencari kerja’ dan Bahagian IA bagi draf pindaan Rang Undang-undang (RUU) baharu itu yang mempunyai perlindungan terhadap pencari kerja, akan dimansuhkan.

“Ini agak mengecewakan kami kerana tindakan itu akan membenarkan diskriminasi untuk terus berlaku. Kami percaya bahawa undang-undang sedia ada seharusnya dipinda bagi memberi perlindungan terhadap pencari kerja selaras dengan larangan diskriminasi yang termaktub dalam Perkara 8(2) Perlembagaaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Konvensyen Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) yang diratifikasi oleh Malaysia, juga sudah menyatakan secara jelas mengenai perlindungan terhadap isu diskriminasi, termasuk mendapatkan peluang pekerjaan sama rata.

Justeru, SUHAKAM menyeru kerajaan supaya melindungi pencari kerja dan pekerja daripada diskriminasi di tempat kerja, serta memastikan senarai diskriminasi yang dilarang, dikekalkan dalam undang-undang dan tidak meletakkannya dalam peraturan.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran sebelum ini dipetik sebagai berkata, Akta Kerja 1955 sedang disemak semula untuk dipinda dan ditambahbaik melalui peruntukan undang-undang baharu yang diharapkan boleh menangani isu semasa di tempat kerja.

Beliau berkata, antara isu semasa itu adalah berkaitan diskriminasi di tempat kerja, cuti paterniti, tempoh waktu bekerja dan beberapa lagi perkara lain dan diharap dapat dikemukakan pada sesi persidangan Parlimen, Oktober ini. – BERNAMA

Berita Harian X