Rabu, 25 September 2019 | 4:17pm

USM nafi gugur 2 program akademik

GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) menafikan dua program akademik di universiti itu dimansuhkan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), sebaliknya ia hanya ditukar kepada nama baharu.

Dalam kenyataan akhbarnya, USM berkata, kedua-dua program itu sudah disemak semula kurikulumnya dengan penggunaan nama baharu.

“Bagi program Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan) (Kepujian) (Perancangan Bandar dan Wilayah) ia ditukarkan kepada nama baharu iaitu Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah (Kepujian).

“Bagi program Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan) (Kepujian) (Reka Bentuk Dalaman) pula ditukar kepada Sarjana Muda Seni Bina Dalaman (Kepujian),” katanya.

Katanya, kedua-dua program baharu yang disemak itu juga dilaksanakan dengan kohort baharu pengambilan pelajar bagi kurikulum baharu bermula Sidang Akademik 2017/2018.

“Tempoh pengajian kedua-dua program itu juga diubah daripada tiga kepada empat tahun pengajian,” katanya.

Isnin lalu, BH melaporkan JPT menggugurkan 38 program akademik yang kebanyakannya adalah sains dan kejuruteraan peringkat sarjana muda dan sarjana di 19 universiti awam (UA) kerana tidak relevan dengan keperluan semasa industri dan masa depan graduan.

Difahamkan, keputusan itu dibuat kerana bidang pengajian pada peringkat sarjana dan sarjana muda terbabit, tidak menjanjikan peluang pekerjaan terbaik kepada graduan sejajar permintaan semasa industri.

Daripada 19 UA, setiap universiti menggugurkan sekurang-kurangnya dua kursus pengajian dan BH difahamkan, beberapa lagi program akademik turut dalam pemerhatian, sama ada digugurkan atau distruktur semula selaras perubahan pasaran pekerjaan di Malaysia.

Berita Harian X