Rabu, 25 September 2019 | 9:04pm
KEADAAN matahari yang bulat dan kelihatan berwarna oren kemerahan ekoran cuaca yang terjejas akibat jerebu ketika tinjauan di Lebuhraya Persekutuan. - Foto BERNAMA

Hanya Johan Setia masih di tahap tidak sihat

KUALA LUMPUR: Cuaca hujan dan tiupan angin di beberapa kawasan membantu mengurangkan masalah pencemaran udara serta jerebu yang melanda Malaysia sejak beberapa minggu lalu.

Ini dapat dilihat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan hanya kawasan Johan Setia, Selangor masih berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan 137, sehingga jam 8 malam tadi.

Menurut Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU sederhana di 65 kawasan lain termasuk Sri Aman, Sarawak yang pernah merekodkan bacaan IPU melebihi 400 iaitu berbahaya, Jumaat lalu, kini berada di paras sederhana iaitu antara 51 hingga 100.

Dalam pada itu, daerah Keningau, di Sabah pula menjadi satu-satunya lokasi berada pada tahap IPU baik.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Dua daerah di Pahang iaitu Rompin (179) dan Temerloh (113) turut mencatatkan bacaan IPU kurang sihat.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan jerebu yang melanda negara sejak dua minggu lalu akan beransur pulih susulan fasa Monsun Peralihan yang bermula semalam.

Keadaan jerebu yang semakin buruk juga memaksa kerajaan mengumumkan tindakan drastik untuk membawa pulang pelajar Malaysia yang belajar di Pekanbaru dan Jambi, Indonesia secara berperingkat mulai semalam.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan semalam, mengumumkan 160 pelajar dibawa pulang ke Malaysia pagi tadi, manakala 120 dipindahkan ke Malaysia Hall di Jakarta, Indonesia, pada 6 petang tadi.

Berita Harian X