Jumaat, 27 September 2019 | 4:14pm

Peralihan monsun bantu pembentukan awan ribut petir - JAS

KUALA LUMPUR: Peralihan monsun yang menyebabkan tiupan angin dari pelbagai arah dengan kelajuan lemah, berpotensi membantu pembentukan awan ribut petir sekaligus mengurangkan keadaan jerebu di negara.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar, berkata keadaan jerebu di negara semakin baik dengan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di rangkaian stesen pengawasan kualiti udara JAS.

Katanya, sehingga jam 8 malam tadi, lapan stesen mencatatkan bacaan IPU baik manakala 59 lagi menunjukkan bacaan sederhana, namun tiada stesen merekodkan bacaan tidak sihat.

“Walaupun, kebakaran hutan masih berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, namun negara kini dalam fasa peralihan monsun dengan tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah, sekaligus berpotensi untuk pembentukan awan ribut petir dalam tempoh ini.

“Keadaan ini sedikit sebanyak mengurangkan jerebu di dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan data ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), kelmarin imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, terdapat peningkatan tompok panas dikesan di Sumatera, Indonesia iaitu daripada bacaan 104 (kelmarin) kepada 121, manakala di Kalimantan, berkurangan daripada 606 kepada 491, dan tujuh dikesan di dalam negara iaitu di dua lokasi di Sarawak dan lima di Sabah.

“Berdasarkan Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada tarikh sama, asap jerebu dari kelompok tompok panas di Sumatera (Riau, Jambi dan Sumatera Utara dan Selatan) dan asap jerebu dari kelompok tompok panas di Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan dipengaruhi oleh angin timuran.

“Bagaimanapun, keadaan itu dijangka tidak memberi kesan kepada situasi jerebu sedia ada di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Berita Harian X