Jumaat, 27 September 2019 | 4:42pm
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pembalakan, perlombongan haram kini fokus SPRM

KOTA KINABALU: Kegiatan pembalakan dan perlombongan haram di seluruh negara kini menjadi fokus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana isu yang membabitkan alam sekitar itu adalah isu kepentingan awam dan perlu dibanteras habis-habisan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata pihaknya sedang menyusun strategi yang membabitkan kaedah lebih canggih disebabkan ada pelaku sudah terlalu selesa melakukan kegiatan itu.

“Strategi membabitkan kaedah yang canggih juga disebabkan mereka sudah mengetahui sistem yang kita ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Media Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Muguntan Vanar.

Latheefa berkata, SPRM juga kini akan lebih fokus untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab utamanya iaitu pencegahan rasuah.

“Ramai tidak mengetahui bahawa tugas utama SPRM adalah pencegahan, namun SPRM juga kini lebih terkenal sebagai badan yang melakukan tangkapan dan reman. Sebenarnya dua pertiga dalam Akta SPRM adalah untuk tujuan pencegahan,” katanya.

Beliau berkata, untuk usaha pencegahan, pihaknya akan mendatangi jabatan atau agensi kerajaan yang mempunyai masalah rasuah terlalu kerap.

“Kita akan berjumpa mereka dan meminta maklumat bagaimana mereka melakukan kerja sehingga menjadi lubuk rasuah. Sekiranya kita dapati ada perkara yang tidak betul, apa-apa arahan yang kita berikan, wajib dipatuhi,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai syor SPRM sebelum ini yang mahu menempatkan pegawai kanannya di pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri, Latheefa berkata, cadangan itu diterima positif.

“Kita cadangkan perkara itu sebagai satu usaha pencegahan demi memastikan tidak berlaku sebarang rasuah dan salah guna kuasa kerana di peringkat negeri mempunyai banyak potensi untuk melakukan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Katanya, SPRM akan memilih beberapa pegawai kanannya dicalonkan kepada Ketua Menteri atau Menteri Besar untuk ditempatkan di pejabat mereka.

“Setakat ini, semua Ketua Menteri dan Menteri Besar menyambut baik usaha ini dan mereka akan umumkan sendiri sekiranya pegawai kanan SPRM itu sudah ditempatkan di pejabat mereka,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X