Isnin, 30 September 2019 | 3:13pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof hadir pada majlis prapelancaran ScoreXcess di pejabatnya di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof hadir pada majlis prapelancaran ScoreXcess di pejabatnya di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Portal ScoreXcess permudah usahawan cari pembiayaan

PUTRAJAYA: Sebuah portal yang menyediakan peluang pembiayaan berdasarkan keperluan perniagaan membabitkan pelbagai agensi bagi memudahkan usahawan mikro dan kecil, ScoreXcess, dilancarkan hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata ia bertindak sebagai portal sehenti bagi mereka yang mahu memohon pembiayaan daripada semua agensi yang berdaftar.

Beliau berkata, portal yang dibangunkan SME Bank itu adalah antara komponen Platform Digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan.

“Ia adalah inisiatif pertama SME Bank di bawah program transformasi digital melalui anak syarikat milik penuhnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR).

“Portal ini juga menyediakan penilaian pemeriksaan prakelulusan yang standard merentasi agensi apabila permohonan pembiayaan diterima melalui enjin Kecerdasan Buatan (AI),” katanya pada sidang akhbar selepas majlis prapelancaran ScoreXcess di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, pelanggan yang memohon akan dinilai keupayaan untuk membuat pembayaran melalui penggunaan data alternatif.

Beliau berkata, pemohon juga akan membuat pengasingan permohonan beberapa agensi kerajaan bersesuaian dengan jenis permohonan.

“Agensi seperti Bank Rakyat, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) diharapkan akan menggunakan platform ini berikutan CEDAR sudahpun berhubung dengan mereka.

“Saya yakin kemudahan ini mampu mempercepat dan memudahkan permohonan kerana proses hanya mengambil masa sehingga tujuh hari bekerja berbanding sebulan sebelum ini,” katanya.

Berita Harian X