X
Isnin, 30 September 2019 | 3:20pm

'Keluarga suami yang mohon inkues'

KUALA LUMPUR: Balu Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun, menyerahkan kepada keluarga arwah suaminya jika mahu inkues dilakukan bagi menentukan punca kematian pegawai komando itu.

Sebagai bekas anggota tentera yang berkhidmat dalam Kor Polis Tentera, Nour Shafina, 31, memahami prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan dalam memastikan keselamatan anggota tentera dalam setiap operasi.

“Jika mahukan inkues, terserah kepada keluarga arwah kerana sebagai bekas anggota tentera, saya tahu itu kemalangan yang tidak dapat dielak.

“Menggunakan peluru hidup adalah perkara biasa bagi pegawai dan anggota tentera, apatah lagi komando,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan bapa mentuanya yang juga pelakon serta pelawak veteran, AR Badul, yang mahu inkues diadakan bagi menyiasat dan mencari punca kematian Mohd Zahir.

Mohd Zahir yang juga pegawai komando, maut pada 4 September lalu ketika melakukan demonstrasi keupayaan sempena pelancaran penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) di Kem Kok Lawi, Sabah.

Lembaga Siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) sebelum ini mengklasifikasikan insiden berkenaan sebagai kemalangan dalam latihan.

Nour Shafinar reda dengan cara kematian suaminya dan menerima keputusan lembaga siasatan TDM.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan dari Bank Muamalat Malaysia Berhad yang menjadi institusi korporat pertama menghulurkan bantuan kepada keluarga Allayarham.

Sumbangan RM15,000 disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, dalam majlis di Briged Ke-12 Infantri Malaysia, Kem Wardieburn, di sini.

Mohd Redza berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat bank berkenaan dalam memberi suntikan semangat kepada balu Allahyarham.

“Sumbangan ini juga sebagai menghargai jasa dan pengorbanan anggota tentera mempertahankan keamanan negara.

“Kematian mereka ketika bertugas seharusnya dibalas dan dihargai,” katanya.

Turut hadir ialah Panglima Divisyen Ke-4 Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Ridzuan Baharuddin dan Panglima 21 Gerup Gerak Khas, Mejar Jeneral Datuk Hasan Ali.

KETUA Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid menyampaikan sumbangan kepada Nour Shafinar Harun pada majlis di Briged Ke-12 Infantri Malaysia, Kem Wardieburn, Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias
KETUA Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid menyampaikan sumbangan kepada Nour Shafinar Harun pada majlis di Briged Ke-12 Infantri Malaysia, Kem Wardieburn, Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X