Selasa, 1 Oktober 2019 | 9:54am
SURINA (kanan), Azulita Salim (tiga kanan) melancarkan Transaksi Perniagaan Tanpa Tunai Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) Telok Panglima Garang. - Foto Roslin Mat Tahir

Penanam Cili Kuala Langat tidak perlu tunggu lama dengan DuitNow

BANTING: Perbankan DuitNow kini boleh dimanfaatkan oleh penanam cili di Kuala Langat bagi mengurangkan masa pembayaran wang bagi hasil tuaian yang dijual kepada Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL).

Ini kerana seramai 420 penanam cili berkenaan menjadi sebahagian daripada program rintis untuk penggunaan kemudahan perbankan digital hasil kerjasama antara Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), PPKKL, CIMB Bank Berhad dan PayNet.

Penggunaan perbankan DuitNow itu bakal menyaksikan penanam cili di Kuala Langat tidak lagi perlu menunggu sehingga tiga hari sebelum menerima pembayaran bagi hasil tuaian yang dijual, sebaliknya keuntungan mereka dipindahkan terus kepada akaun bank masing-masing.

Ia sudah tentu menjadi satu penambahbaikan daripada cara pembayaran sebelum ini, bermula dengan penggunaan cek tunai yang dikeluarkan pusat pengumpulan tanaman di Teluk Panglima Garang kepada pemindahan wang secara elektronik yang hanya dibuat dua kali seminggu.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri, berkata inisiatif berkenaan adalah satu penambahan kepada program pertanian digital sedia ada yang menyasarkan kepada penggunaan penyelesaian pertanian digital bagi menambahbaik kecekapan dan meningkatkan pulangan yang diterima.

SURINA Shukri. - Foto Roslin Mat Tahir

Katanya, dengan DuitNow, penanam cili di kawasan berkenaan menjadi perintis kepada sistem bebas tunai dan tidak lagi perlu menunggu selama tiga hari untuk menerima pembayaran masing-masing.

"Apa yang diperlukan ialah pendaftaran MyKad dan pembayaran oleh PPKKL dilaksanakan dengan serta-merta. Kerjasama MDEC dengan rakan kongsi kami membolehkan petani di Kuala Langat menikmati kemudahan perkhidmatan digital, satu contoh terbaik bagaimana kami menyokong ekonomi digital yang inklusif.

"Inisiatif ini akan membolehkan PPKKL menjalankan urus niaga dengan ahli peladangnya dengan mudah dan cepat melalui perbankan DuitNow, selain berupaya mengurangkan kos operasi dan menurunkan risiko penolakan pembayaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Menyemarakkan Penggunaan Teknologi Digital dalam Industri Pertanian - Transaksi Perniagaan Tanpa Tunai di Makmal eLadang 1 Teluk Mengkuang dan Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) Teluk Panglima Garang, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Azulita Salim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser; Timbalan Pengarah LPP Negeri Selangor, Ahmad Fuad Zakaria dan Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Kuala Langat, Ab Razak Kasbollah.

Ketika ini, PPKKL sedang mendaftarkan seramai 420 ahlinya dengan perbankan DuitNow.

Surina berkata, pelancaran semalam adalah langkah pertama, malah masih terdapat pelbagai keupayaan dan fungsi pembayaran tanpa tunai yang berpotensi dan boleh diterokai oleh petani serta peladang.

"Penggunaan DuitNow ini akan memudahkan transaksi kewangan antara pihak peladang dan pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di kawasan mereka," katanya.

SURINA (empat, kanan) dan Azulita (empat, kiri), ADUN Morib, Hasnul Baharuddin (dua, kiri) bersama sebahagian petani pada Pelancaran Program Menyemarakkan Penggunaan Teknologi Digital Industri Pertanian - Transaksi Perniagaan Tanpa Tunai di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang Teluk Panglima Garang, Kuala Langat. - foto BERNAMA

Justeru, beliau berharap agar pekebun cili di PPKKL mengambil peluang menggunakan kaedah pembayaran DuitNow bagi memastikan rekod kewangan mereka lebih sistematik.

Sementara itu, Azulita berkata, kaedah pembayaran tanpa tunai menerusi perbankan DuitNow itu mudah untuk dipraktikkan.

"Sebelum ini, mereka terpaksa menunggu sehingga tiga hari untuk mendapatkan bayaran hasil tanaman mereka tetapi dengan kaedah ini mereka akan menerimanya dengan segera.

"Caranya, mereka hantar hasil pertanian di sini, kemudian mereka terus menerima bayaran ke akaun mereka melalui DuitNow.

"Jadi, mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan pulangan daripada susah payah mereka menanam dan kaedah menarik minat golongan muda kerana mereka memerlukan pulangan lebih cepat, mungkin untuk pusingan modal dan sebagainya," katanya.

Berita Harian X