Selasa, 1 Oktober 2019 | 12:22pm

PRK Parlimen Tanjung Piai, 16 November

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor akan diadakan pada 16 November, umum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November manakala pengundian awal akan diadakan pada 12 November, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRK berkenaan di ibu pejabat SPR di sini, hari ini.

PRK Tanjung Piai perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu berikutan komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Dr Md Farid, seorang pakar bius, daripada Pakatan Harapan-Bersatu memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS). Jeck Seng memperoleh 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.

Azhar berkata, PRK berkenaan akan menggunakan Daftar Pemilih Induk Suku Tahun Kedua 2019 yang dikemaskini hingga 23 September 2019 yang mengandungi 52,986 pemilih berdaftar.

"Jumlah itu terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan Pengundi Tidak Hadir Luar Negara," katanya.


Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun menunjukkan peta kawasan PRK Parlimen Tanjung Piai, Johor selepas sidang media di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Beliau berkata, SPR akan menggunakan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Katanya, seramai 1,019 petugas dilantik mengendalikan proses PRK ini, manakala sebanyak 28 pusat mengundi mengandungi 127 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.

Azhar berkata, peruntukan bagi PRK DUN Rantau dianggarkan berjumlah RM2.67 juta dan SPR mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRK berkenaan.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun pada sidang media berkaitan PRK Parlimen Tanjung Piai, di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X