Selasa, 1 Oktober 2019 | 8:42pm
PRESIDEN Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.

Perketat prosedur elak kesan kepada perkahwinan

KUALA LUMPUR: Peraturan lebih ketat terhadap perkahwinan membabitkan pasangan warga asing perlu dibuat memandangkan ia boleh memberi kesan besar kepada masa depan sesebuah perkahwinan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata biarpun prosedur tertentu sudah dikenakan bagi perkahwinan membabitkan rakyat Malaysia dan pasangan warga asing ketika ini, masih ramai tidak peduli terhadap kesan pada masa depan.

Beliau berkata, ini termasuk implikasi pasangan warga asing yang boleh mengabaikan terus tanggungjawabnya terhadap anak dan isteri jika mereka mengambil keputusan pulang ke negara asalnya.

“Jika isteri meninggal dunia, suami warga Pakistan berhak dapat faraid walaupun baru berkahwin. Mereka juga berhak tuntut bahagian harta sepencarian jika berlaku perceraian walaupun tidak berhak memiliki harta seperti tanah.

“Mereka juga boleh balik ke negara asal pada bila-bila masa dengan meninggalkan isteri yang uzur atau sakit. Sekiranya ada anak, mereka boleh tinggalkan terus tanggungjawab nafkah anak jika balik ke negara asal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas pendedahan akhbar BH berkenaan isu warga asing khususnya dari Pakistan mengahwini wanita tempatan termasuk dengan wanita bertaraf nenek semata-mata untuk tinggal lama dan berniaga di negara ini.

Mengulas lanjut, Musa berkata berdasarkan prosedur perkahwinan membabitkan warga asing, pasangan itu wajib memohon kebenaran berkahwin daripada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Beliau berkata, borang permohonan perkahwinan harus disertakan dengan dokumen lengkap seperti pasport asal serta salinan halaman yang memaparkan bukti masuk ke negara ini secara sah.

Pasangan terbabit juga perlu mengemukakan salinan visa, gambar bersaiz pasport, sijil kelahiran kedua-dua pasangan, sijil kursus perkahwinan, ujian dan keputusan HIV, surat akuan atau surat sumpah bujang serta surat pengesahan taraf perkahwinan.

“Jika sebelum ini pernah berkahwin, memerlukan surat perakuan cerai atau surat perakuan mati (jika cerai mati) serta surat kebenaran menikah dari kedutaan (bagi warga asing). Ini (kemuka dokumen) bagi warga asing yang mempunyai pas masuk secara sosial atau perniagaan,” katanya.

Prosedur berbeza bagi warga asing yang memegang permit kerja, di mana mereka langsung tidak dibenarkan memohon untuk berkahwin di negara ini.

“Sekiranya warga asing itu berkahwin dengan wanita tempatan, kontrak atau permit kerja pekerja asing berkenaan terbatal.

Mereka perlu pulang ke negara asal untuk tempoh enam bulan dan sepanjang tempoh itu, warga asing berkenaan hanya diberikan pas sementara yang tidak akan dilanjutkan,” katanya.

Selepas tempoh enam bulan itu, kata beliau, barulah warga asing berkenaan boleh mendaftar di Jabatan Imigresen untuk mendaftar sebagai suami kepada pasangan warganegara.

“Mungkin mereka mengambil kesempatan ini dalam ‘cooling period’ atau tempoh bertenang (selama enam bulan) ini untuk berkahwin dengan wanita tempatan.

“Ini kerana suami atau isteri kepada warganegara yang sudah diberikan atau layak diberikan pas lawatan sosial jangka panjang, dibenarkan untuk bekerja, berniaga dan (terbabit dengan) pekerjaan profesional.

“Ini boleh dilakukan tanpa perlu menukar status pas lawatan sosial mereka kepada pas kerja yang berkaitan (pas penggajian atau pas lawatan kerja sementara),” katanya.

Berita Harian X