Rabu, 2 Oktober 2019 | 9:17pm
PENGERUSI ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENGERUSI ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENGERUSI ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PENGERUSI ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Syor dua sistem pilihan raya negara

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) mencadangkan dua sistem pilihan raya dilaksanakan di negara ini.

Menerusi dua sistem itu, pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dikekalkan dengan sistem ‘first past the post’ manakala kawasan Parlimen menggunakan sistem ‘proportional representative’ (perwakilan berkadar).

Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, bagaimanapun berkata pilihan raya tetap dijalankan secara serentak seperti diamalkan selama ini dengan kertas undi memaparkan nama calon bagi peringkat DUN dan parti untuk kawasan Parlimen.

Katanya, sistem itu khususnya perwakilan berkadar juga disokong banyak parti politik kerana ia dilihat lebih bersifat adil terutama kepada parti kecil untuk mendapat tempat dalam Dewan Rakyat.

“Sistem ‘first past the post’ masih penting di peringkat DUN kerana rakyat di luar bandar masih memerlukan wakil rakyat untuk menjadi penghubung dengan sistem penyampaian kerajaan.

“Sistem ‘proportional representative’ sesuai bagi memilih parti untuk membentuk kerajaan. Sistem ini membolehkan parti yang paling banyak menerima undi tertinggi akan membentuk kerajaan.

“Pemilihan bukan bersandarkan kepada calon, tetapi parti yang bertanding. Misalnya sesuatu parti mendapat 60 peratus undi, maka parti itu akan dapat 60 peratus kerusi.

“Sistem ini bersifat lebih adil kepada parti kecil untuk mendapat kerusi. Sistem ini juga boleh memperuntukkan kerusi khas untuk kelompok tertentu seperti Orang Asli,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program libat urus Terbuka Reformasi Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya di sini, hari ini.

Sistem perwakilan berkadar adalah kaedah menentukan parti membentuk kerajaan berasaskan peratus undi diperoleh sesuatu parti.

Amalan ini diguna pakai di beberapa negara khususnya di Jerman, Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia.

Di Jerman, selain asas peruntukan kerusi berpandukan peratusan jumlah undi, ia turut meletakkan syarat sesuatu parti perlu mendapat tidak kurang lima peratus peratus undi keseluruhan.

Sistem pilihan raya negara ini berpandukan model sistem pilihan raya Britain, iaitu berasaskan perwakilan mengikut kawasan.

Calon yang mendapat undi tertinggi akan diisytiharkan menang walaupun beza satu undi mengatasi calon lain.

Abdul Rashid turut berkata, ERC mencadangkan Suruhanjaya Persempadanan Kawasan Pilihan Raya diwujudkan bagi mengendalikan urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya.

Katanya, ia akan mengasingkan peranan SPR dan membantu suruhanjaya itu menjadi badan bebas mengendalikan pilihan raya.

“ERC turut mencadangkan pendaftaran parti politik diuruskan SPR dan bukan lagi menerusi Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana jabatan itu berada di bawah kawalan kerajaan,” katanya

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X