Khamis, 3 Oktober 2019 | 10:36am

Kerajaan sedia kaji GST jika itu kehendak rakyat - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan sedia mengkaji semula pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), sekiranya itu kehendak rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kajian itu bagi melihat sama ada GST lebih baik daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Kalau itu kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada (GST) lebih baik dari SST ataupun tidak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam, di sini hari ini.

Selasa lalu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berharap kerajaan memperkenal semula GST dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Kamal Salih, berkata cukai kepenggunaan itu sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding sistem SST.

Beliau berkata, kadar yang bersesuaian jika kerajaan melaksanakan semula sistem percukaian itu ialah tiga peratus.

Katanya, pengenalan semula GST pada kadar yang lebih rendah bersama-sama pemberian subsidi akan membantu mengurangkan kos sara hidup, terutama golongan berpendapatan rendah.

Ditanya sama ada pelaksanaan GST boleh dimasukkan dalam Belanjawan 2020, Perdana Menteri berkata, perkara tidak mungkin dilakukan.

“Bajet ini susahlah. Mungkin kemudian,” katanya. Belanjawan akan dibentangkan Jumaat minggu depan.

Jumaat lalu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berkata, kerajaan perlu bersikap ‘berani kerana benar’ jika mendapati pengenalan semula GST dilihat sebagai penyelesaian terbaik dalam merancang dan menguruskan kewangan negara bagi menjamin kemakmuran bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman, berkata kalau wujud keperluan memperkenal semula cukai itu, tidak salah untuk melaksanakannya dan mengetepikan alasan politik.

Beliau berkata, berdasarkan data, tidak dapat dinafikan bahawa sistem GST paling popular diguna pakai di dunia kerana lebih mudah dan membantu kerajaan mempunyai pendapatan yang cukup untuk berbelanja.

Berita Harian sebelum ini melaporkan Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menyatakan GST menyumbang kira-kira RM44 bilion kepada pendapatan negara pada 2017, sementara SST pula menyumbang kira-kira RM22 bilion, iaitu kekurangan pendapatan kira-kira RM22 bilion berikutan peralihan kepada SST.

Pelaksanaan GST pada kadar enam peratus bermula pada 1 April 2015 sebelum dimansuhkan dan SST diperkenalkan semula pada 1 September 2018.

Lebih 160 negara di dunia turut melaksanakan GST.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim menunjukkan buku Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) pada Majlis Pelancaran DKKA di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X