Khamis, 3 Oktober 2019 | 1:53pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan sempena perasmian Yayasan MySTEMI di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Kerajaan teliti kes warga asing kahwini wanita tempatan untuk berniaga

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti kes warga asing yang mengahwini wanita tempatan bagi tujuan menjalankan perniagaan, yang didedahkan BH baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata Jabatan Imigresen juga akan mengambil tindakan jika warga asing berkenaan didapati melanggar undang-undang negara ini.

“Kita akan kaji kes sebegini. Ia tertakluk kepada syarat pas dan permit yang dipegang warga asing itu.

“Jika mereka melanggar apa-apa syarat Jabatan Imigresen, jabatan itu akan mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Yayasan MySTEMI, di sini, hari ini.

Isnin lalu, BH mendedahkan taktik lelaki warga Pakistan di Sabah yang mengahwini wanita tempatan untuk menjalankan perniagaan dengan lokasi tumpuan di pinggir bandar dan penempatan setinggan yang jarang digempur pihak berkuasa.


Paparan BH Isnin lalu.

Taktik lain mereka menggunakan nama warga tempatan atau mengambil alih perniagaan sedia ada milik penduduk dengan membayar sewa tertentu tanpa menukar penama pada lesen perniagaan.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Musa Sulaiman, berkata lelaki warga Pakistan itu sanggup berkahwin dengan wanita berusia termasuk yang berstatus nenek, semata-mata mahu mendapatkan pas lawatan sosial untuk tinggal lama dan berniaga di negeri itu.

Sementara itu, dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berkata, penubuhan Yayasan MySTEMI memberi harapan baharu kepada pesakit jantung, yang akan menjana lebih dana bagi membolehkan pesakit mendapat akses kepada Percutaneous Coronary Intervention (PCI) lebih awal di hab hospital di bawah rangkaian MySTEMI.

“Hospital dalam rangkaian ini boleh memohon dana untuk prosedur PCI bagi mereka yang tidak berkemampuan, terutama kumpulan B40.

“Justeru, kita mengalu-alukan sumbangan kepada yayasan ini dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.

Berita Harian X