Khamis, 3 Oktober 2019 | 6:59pm
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap bagi merasmikan MySTEMI Foundation. - Foto BERNAMA

Kes warga asing nikah wanita tempatan untuk jalankan perniagaan diteliti

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti kes warga asing yang mengahwini wanita tempatan bagi tujuan menjalankan perniagaan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan jika warga asing terbabit melanggar undang-undang negara ini.

“Kita akan kaji kes sebegini. Ia tertakluk kepada syarat pas dan permit yang dipegang warga asing itu.

“Jika mereka melanggar syarat Jabatan Imigresen, jabatan itu akan mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Yayasan MySTEMI di sini, hari ini.

Isnin lalu, BH mendedahkan taktik lelaki warga Pakistan di Sabah yang mengahwini wanita tempatan untuk menjalankan perniagaan dengan lokasi tumpuan di pinggir bandar dan penempatan setinggan yang jarang digempur pihak berkuasa.

Taktik lain mereka menggunakan nama warga tempatan atau mengambil alih perniagaan sedia ada milik penduduk dengan membayar sewa tertentu tanpa menukar penama pada lesen perniagaan.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Musa Sulaiman, dilaporkan berkata lelaki warga Pakistan itu sanggup berkahwin dengan wanita berusia termasuk yang berstatus nenek, semata-mata mahu mendapatkan pas lawatan sosial untuk tinggal lama dan berniaga di negeri itu.

Sementara itu, dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berkata, penubuhan Yayasan MySTEMI memberi harapan baharu kepada pesakit jantung, yang akan menjana lebih dana bagi membolehkan pesakit mendapat akses kepada Percutaneous Coronary Intervention (PCI) lebih awal di hab hospital di bawah rangkaian MySTEMI.

“Hospital dalam rangkaian ini boleh memohon dana untuk prosedur PCI bagi mereka yang tidak berkemampuan, terutama kumpulan B40.

“Justeru, kita mengalu-alukan sumbangan kepada yayasan ini dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.

Berita Harian X