Khamis, 3 Oktober 2019 | 8:13pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi dialog Temu Anwar @ UiTM, di Dewan Seri Budiman, Universiti Teknologi Shah Alam (UiTM). - Foto NSTP/Sairien Nafis
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi dialog Temu Anwar @ UiTM, di Dewan Seri Budiman, Universiti Teknologi Shah Alam (UiTM). - Foto NSTP/Sairien Nafis

Kerajaan tidak perlu terikat dengan GST - Anwar

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan mengkaji sedalam-dalamnya cadangan pelaksanaan semula sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Beliau berkata, ini kerana pendirian Pakatan Harapan (PH) sebelum ini adalah tidak bersetuju dengan sistem percukaian yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

“Saya rasa Perdana Menteri hanya mahu mengkaji keberkesanan pelaksanaan SST.

“Pada pandangan peribadi saya, ia kena kaji sedalam-dalamnya kerana pendirian kita sebelum ini untuk melihat semula sistem percukaian lama. Kita tidak perlu terikat dengan GST,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tamu Program Dialog Bersama Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Anwar mengulas kenyataan Dr Mahathir yang berkata kerajaan sedia mengkaji semula pelaksanaan GST, sekiranya itu kehendak rakyat.

Perdana Menteri berkata, kajian itu bagi melihat sama ada GST lebih baik daripada SST.

Selasa lalu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berharap kerajaan memperkenal semula GST dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Kamal Salih, berkata cukai kepenggunaan itu sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding sistem SST.

Beliau berkata, kadar yang bersesuaian jika kerajaan melaksanakan semula sistem percukaian itu ialah tiga peratus.

Katanya, pengenalan semula GST pada kadar yang lebih rendah bersama-sama pemberian subsidi akan membantu mengurangkan kos sara hidup, terutama golongan berpendapatan rendah.

Berita Harian X