Isnin, 7 Oktober 2019 | 12:28am
Kira-kira 80 peratus kes yang berpotensi untuk menderma organ ditolak ahli keluarga masing masing.
Kira-kira 80 peratus kes yang berpotensi untuk menderma organ ditolak ahli keluarga masing masing.

80 peratus kes berpotensi derma organ ditolak ahli keluarga

KUALA LUMPUR: Kira-kira 80 peratus kes yang berpotensi untuk menderma organ ditolak ahli keluarga masing masing.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Perkhidmatan Transplantasi Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Dr Raja Farah Faizura Raja Shahruddin, berkata disebabkan itu sekitar 20 hingga 30 orang sahaja yang menderma organ setiap tahun, selepas mendapat keizinan dan persetujuan daripada keluarga si penderma organ terbabit.

“Mereka (keluarga) beri pelbagai sebab tidak bersetuju untuk ahli keluarga yang sudah berikrar menderma organ, antaranya tidak mahu menyeksa jenazah, takut lambatkan pengebumian dan ada juga beritahu tidak tahu hasrat si mati itu untuk menderma organ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dan Bicara Hati Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Pengarah Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah di sini, hari ini.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, sejumlah 431,833 atau 1.3 peratus mewakili rakyat Malaysia berikrar sebagai penderma organ selepas kematian sehingga 31 September lalu, dan jumlah itu masih rendah berbanding negara lain.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata banyak kes yang berlaku apabila keluarga tidak bersetuju untuk ahli keluarganya mendermakan organ walaupun dia telah berikrar berbuat demikian.

Beliau berkata, pengikrar penderma organ diharap dapat berkongsi maklumat mengenai hasrat mereka mahu menderma organ dengan keluarga mereka dan waris terdekat supaya tidak timbul masalah untuk berbuat demikian selepas meninggal dunia.

“Misalnya, seseorang yang memiliki kad ikrar derma organ terbabit dengan kemalangan, doktor kemudiannya akan terlebih dahulu bertanya dengan keluarga si penderma (meminta persetujuan) tapi malangnya keluarga penderma tidak bersetuju kerana tidak mengetahui hasrat si mati.

“Jadi ini kekangannya, saya berharap lebih ramai penderma organ menjelaskan mengapa mereka mendaftar sebagai penderma organ dengan keluarga dan waris terdekat kerana mereka ada tanggungjawab untuk mempengaruhi dan menyakinkan mereka,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X