Isnin, 7 Oktober 2019 | 9:51am
MOHD Azizee Hasan.

Guru sokong resolusi pendidikan Kongres Maruah Melayu

KUALA LUMPUR: Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik cadangan Kongres Maruah Melayu untuk menambah biasiswa penuh bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Presidennya, Mohd Azizee Hasan, berkata sehubungan itu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu mengutamakan pemberian biasiswa kepada anak Melayu dan Bumiputera selain biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Petronas dan Bank Rakyat, yang perlu memberi keutamaan kepada mereka.

“Sewajarnya pihak kerajaan mewujudkan tabung biasiswa anak Bumiputera terutama bagi membantu anak golongan B40.

“iGuru berharap langkah memperkasa sekolah kebangsaan dan pemberian biasiswa berkenaan adalah satu usaha mengangkat agenda Nasional Bangsa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azizee berkata, iGuru juga menyambut baik syor mewujudkan sekolah satu aliran dan pemansuhan sekolah vernakular yang disifatkan gagal membentuk integrasi nasional selain melebarkan jurang polarisasi kaum.

Katanya, kewujudan sekolah vernakular juga menjadi penghalang ke arah mewujudkan perpaduan kaum seperti yang disyorkan dalam Penyata Razak 1956.

“iGuru juga menyokong usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran sebagai langkah mewujudkan sekolah satu aliran. Ini mesti dimulakan seawal peringkat sekolah rendah lagi,” katanya.

Beliau berkata, sekolah kebangsaan perlu diperkasa menerusi penambahan belanjawan pendidikan bagi tujuan penambahbaikan prasarana, akses internet berkualiti, latihan perguruan dan kurikulum pendidikan demi memenuhi keperluan cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Aspek lain yang perlu diberi penekanan ialah keupayaan murid untuk menguasai pelbagai bahasa sebagai perantaraan memupuk perpaduan dan sistem pembelajaran yang anjal berdasarkan kebolehan serta potensi mereka.

Berita Harian X