Isnin, 7 Oktober 2019 | 4:22pm

RUU IPCMC cetus drama di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat penuh drama hari ini apabila pembangkang meminta supaya Rang Udang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak dibahaskan kerana ia akan dibawa untuk diperincikan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Suasana dewan kecoh apabila kalangan wakil rakyat pembangkang meminta supaya urusan perbahasan RUU itu tidak menjadi sesuatu yang membuang masa selepas dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Liew Vui Keong.

Kekecohan turut berlaku apabila Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon meneruskan sesi perbahasan selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin mengusulkan supaya RUU itu dibahaskan dan diluluskan dalam hari sama.

Tan Sri Noh Omar (BN-UMNO Tanjung Karang) mendakwa, sesi perbahasan itu tidak mengikut prosedur Dewan Rakyat.

"Saya ada pengalaman 20 tahun dalam Dewan Rakyat dan saya tidak pernah melihat terlalu banyak pindaan dalam RUU yang dibentangkan Menteri.

"Ada 24 pindaan. Kenapa tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen terlebih dahulu sebelum bentangkan di sini. Saya pelik adakah kerajaan tergesa-gesa mahu meluluskan RUU ini," soalnya.

Perkara itu disokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-UMNO Bera) yang menyatakan RUU itu tidak perlu dibahaskan kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong sendiri berkata akan membawa pindaan itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

"Apa maknanya jika RUU ini diluluskan kemudian dibawa ke jawatankuasa untuk pindaan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Dewan Rakyat. Ini soal maruah polis, maruah Ahli Parlimen," katanya.

Ahli Parlimen kerajaan, Hassan Abdul Karim (PH-PKR Pasir Gudang) turut meminta supaya RUU itu dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas sebelum dibahaskan di Dewan Rakyat.

"Perkara ini penting.. .yang kita nak bincang adalah agensi polis berusia lebih 200 tahun. Tadi ada usul bahawa perkara ini dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

"Kalau boleh usul itu, Jawatankuasa Pilihan Khas bincang perkara dasar terlebih dahulu dan kemudian hasil perbincangan itu dibawa kepada kita (untuk dibahaskan)," katanya sebelum sidang Dewan Rakyat berhenti rehat.

Bagaimanapun sidang Dewan Rakyat yang bersambung selepas itu menyaksikan, Timbalan Speaker, Nga Kor Ming memberi jaminan tidak akan ada undian bagi RUU terbabit sebaliknya memberitahu Menteri berkaitan akan mengusulkan supaya ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

"Ini adalah kali pertama kerajaan mengambil inisiatif menyerahkan RUU kepada sesuatu Jawatankuasa Pilihan Khas bagi membincangkan RUU terbabit.

"Ini adalah selaras dengan reformasi Parlimen dan memberikan ruang dan peluang kepada ahli Yang Berhormat supaya pandangan ahli Yang Berhormat diambil kira.

"Bagaimanapun berdasarkan Peraturan Mesyuarat 54(2), saya memberikan peluang supaya RUU ini dibahaskan tetapi tiada apa-apa yang akan diluluskan selepas itu," katanya.

Berita Harian X