Selasa, 8 Oktober 2019 | 3:02pm
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan bergambar kenangan bersama tetamu kenamaan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia 2019 di Istana Melawati hari ini. Turut kelihatan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu (empat, kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (empat, kanan). - Foto BERNAMA

Agong kurnia 273 pingat kepada angkatan tentera

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Istiadat pengurniaan darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2019 menyaksikan Ahmad Hasbullah mendahului senarai 273 penerima pingat pada sesi pertama istiadat itu yang berlangsung di Istana Melawati di sini.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka yang juga Pemerintah Tertinggi ATM ke istiadat pengurniaan darjah itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada istiadat itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 11 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (41 penerima), Kesatria Angkatan Tentera (102 penerima) dan Bentara Angkatan Tentera (116 penerima).


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada Kol Abu Hurairah Talib pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia 2019 di Istana Melawati hari ini. - Foto BERNAMA

Al-Sultan Abdullah turut berkenan menganugerahkan darjah PGAT Kehormat kepada dua penerima dari negara asing iaitu Panglima Angkatan Tentera New Zealand, Marsyal Udara Kevin R Short dan Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand, Jeneral Ponpipaat Benyasri.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. - BERNAMA

Berita Harian X