Selasa, 8 Oktober 2019 | 3:19pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Dr M pertahan ucapan Melayu malas

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tetap dengan pendiriannya yang dilontarkan pada Kongres Maruah Melayu pada Ahad yang menyatakan Melayu malas.

Perdana Menteri berkata, kenyataan yang beliau suarakan itu satu kebenaran berdasarkan pemerhatiannya yang mendapati masih ramai orang Melayu tidak mahu bekerja.

Justeru, dengan kenyataan itu, beliau berharap orang Melayu berusaha memperbaiki taraf hidup mereka dan tidak bergantung kepada orang lain.

“Saya dapati ada orang tak nak kerja, maknanya dia tiada minat. Kalau kita tak boleh tegur orang, macam mana kita nak betulkan orang?

“Kalau dia buat salah pun kita puji, itu salah. Saya cuma kata maruah orang Melayu ini akan dipulih semula oleh orang Melayu sendiri,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan pihak tertentu meminta supaya beliau berhenti mengeluarkan kenyataan mengaitkan Melayu sebagai malas.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika berucap di kongres itu menyifatkan masyarakat Melayu tidak sanggup membuat kerja berat dan kasar kerana berasa ia pekerjaan hina serta berpendapatan kecil.

Katanya, ia berbeza dengan warga asing yang datang ke negara ini dan sanggup bekerja dalam pekerjaan yang dianggap kotor, sukar dan berbahaya tetapi akhirnya berjaya memajukan diri.

Dr Mahathir berkata, ucapannya yang dikatakan mengkritik sikap orang Melayu bukan satu kesalahan.

Katanya, beliau menegaskan dalam ucapannya itu bahawa orang Melayu tidak boleh berharap kepada orang lain atau kerajaan untuk memajukan diri.

"Itu isi kandungan ucapan saya dan saya tak fikir saya buat sesuatu yang salah," katanya.

Berita Harian X