Selasa, 8 Oktober 2019 | 4:14pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin menyampaikan ucaptama perasmian persidangan ‘Sustainable Brand Kuala Lumpur’ di sini, hari ini. - Foto Rosela Ismail
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin menyampaikan ucaptama perasmian persidangan ‘Sustainable Brand Kuala Lumpur’ di sini, hari ini. - Foto Rosela Ismail

Malaysia bawa isu jerebu rentas sempadan

KUALA LUMPUR: Malaysia membawa isu jerebu rentas sempadan yang menjejaskan negara ini ke Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN ke-15 mengenai Alam Sekitar (AMME) di Siem Reap, Kemboja mulai semalam hingga Khamis ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata, kementerian diwakili timbalannya, Isnaraissah Munirah Majilis.

Katanya, sebelum ini Malaysia sememangnya tegas dengan pendirian dan kerap membangkitkan isu berkenaan dalam pelbagai mesyuarat dan forum peringkat ASEAN dan antarabangsa.

“Pada mesyuarat kali ini, Malaysia membangkitkan isu jerebu yang menjejaskan rakyat kita untuk penyelesaian segera,” katanya kepada media selepas merasmikan persidangan ‘Sustainable Brand Kuala Lumpur’ di sini, hari ini.

Sempena mesyuarat itu, Menteri Alam Sekitar ASEAN akan membincangkan pelbagai kerjasama serantau dalam alam sekitar, termasuk perubahan iklim, persekitaran bandar lestari, pemuliharaan biodiversiti, persekitaran pesisir dan marin, pendidikan alam sekitar, pengurusan sumber air, pengurusan sisa kimia dan berbahaya, dan kawalan pencemaran jerebu rentas sempadan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini dilaporkan berkata, faktor utama penyumbang punca bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang tinggi di Malaysia pada Ogos hingga bulan lalu adalah berikutan ratusan tompok panas akibat kebakaran di Kalimantan dan Sumatera.

Sementara itu, Bee Yin berkata, kerajaan berharap dapat mencapai fokusnya terhadap penggunaan sifar beg plastik menjelang 2030.

Beliau berkata, awal tahun ini, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM8.5 juta dana untuk tujuan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) menggantikan beg plastik menggunakan tumbuhan mesra alam dan mudah dilupuskan.

“Kami membuka permohonan bagi cadangan (RFP) kepada empat syarikat pada tahun ini untuk melakukan penyelidikan ke arah menghasilkan lebih banyak produk beg mesra alam, misalnya memanfaatkan sumber tempatan seperti sisa buangan kelapa sawit untuk menggantikan beg plastik.

“Kerajaan menyediakan 70 peratus peruntukan untuk menjayakan projek itu, sementara bakinya 30 peratus dibiayai syarikat terbabit,” katanya.

Mengenai syarikat dari Malaysia yang didakwa Indonesia penyebab kebakaran hutan, Bee Yin berkata republik itu perlu mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit jika ada bukti kukuh.

“Tindakan sewajarnya perlu diambil kerana kebakaran menjejaskan rakyat negara kita dan negara jiran lain,” katanya.

Berita Harian X