Selasa, 8 Oktober 2019 | 11:14pm
Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan (kiri) bersama Razali pada sidang media selepas majlis penerangan mengenai Visa Pelancongan ke Arab Saudi kepada wakil agensi pelancongan umrah dan haji di Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Syarikat pelancongan, umrah perlu sambut baik pengenalan e-visa

SHAH ALAM: Syarikat pelancongan yang menguruskan jemaah umrah perlu berfikiran terbuka terhadap inisiatif kerajaan Arab Saudi memperkenalkan visa pelancong (e-visa) baru-baru ini.

Presiden Persatuan Pelancongan, Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata pelaksanaan e-visa itu tidak akan merugikan pengusaha, selain dapat menggalakkan umat Islam negara ini menunaikan umrah.

Katanya, pemilihan Malaysia selaku negara Islam bersama Brunei Darussalam untuk mendapat keistimewaan itu, adalah satu tindakan yang amat bermakna dan harus dihargai.

“Pengusaha syarikat pelancongan membabitkan ibadah umrah perlu melihat perkara ini secara positif kerana Arab Saudi memilih hanya dua negara Islam ini. Ia satu peluang yang harus dihargai.

“Kita percaya Malaysia dipilih untuk mendapat keistimewaan ini berikutan pengurusan operasi umrah kita lebih teratur selain faktor rakyat kita yang berdisiplin serta bersopan santun ketika mengerjakan ibadah itu,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, satu taklimat berhubung perkara itu diadakan di Hotel De Palma, Seksyen 19, di sini yang disertai lebih 100 pengusaha agensi pelancongan dan umrah.

Pada sidang media sama, Razali berkata, rakyat negara ini yang mahu mendapatkan e-visa hanya perlu membayar 300 Saudi Riyal (RM335.68) dan mereka boleh menikmati kemudahan keluar masuk ke negara itu selama setahun serta tinggal di sana tidak melebihi 90 hari.

Katanya, rakyat yang memiliki e-visa itu boleh melancong ke mana-mana tempat menarik di Arab Saudi dan menunaikan ibadah umrah tanpa sebarang sekatan.

“Bagaimanapun, pemegang e-visa tidak dibenarkan untuk mengerjakan ibadah haji dan mana-mana pemegang yang menyalahgunakan e-visa itu akan dikenakan hukuman berat.

“Jika kesalahan itu dikesan di Malaysia, pemegang akan dikenakan denda tetapi jika dikesan di Arab Saudi, pemegang boleh dipenjarakan,” katanya.

Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) baru-baru mengumumkan pelancaran visa pelancongan yang akan dikeluarkan melalui pejabat konsulat dan Kedutaan Besar Arab Saudi di seluruh dunia.

Pemberian visa itu hanya diberikan kepada 49 negara termasuk dua negara Islam iaitu Malaysia dan Brunei sementara selebihnya adalah China, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Denmark, Itali, Jerman dan Singapura.

Berita Harian X